Campus

Majlis Iftar Perdana UUM eratkan ukhuwah warga universiti

Gambar oleh Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 9 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Majlis Iftar Perdana Peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) 2026/1447H di Masjid Sultan Badlishah bagi mengeratkan ukhuwah serta menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan warga universiti dan komuniti setempat.

Majlis anjuran bersama Pusat Islam UUM dan Jabatan Canselori UUM itu menghimpunkan barisan kepimpinan universiti, pegawai kanan, staf serta pelajar UUM.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Dr. Mazlan Yusoff berkata, Ramadan merupakan bulan yang amat istimewa bagi umat Islam kerana bukan sahaja menuntut umatnya menahan lapar dan dahaga, malah menjadi medan tarbiah untuk memperkukuh keimanan serta memupuk nilai kemanusiaan dan kebersamaan.

Menurut beliau, penganjuran majlis seumpama itu bukan sekadar ruang untuk berbuka puasa bersama, malah menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara kepimpinan universiti, warga kampus serta masyarakat yang sentiasa menyokong pembangunan universiti.

“Program seperti ini dapat menyemai nilai ukhuwah, kebersamaan dan keprihatinan sosial yang amat penting dalam membentuk warga universiti yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, Ramadan merupakan bulan yang mendidik jiwa, memperkukuh keimanan serta mengingatkan umat Islam tentang nilai kesyukuran, kesederhanaan dan kepedulian terhadap sesama insan.

“Dalam sebuah institusi ilmu seperti universiti, kekuatan sebenar bukan hanya terletak pada kecemerlangan akademik, tetapi juga pada kesatuan hati, nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan yang dibina bersama,” katanya.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan, termasuk Sumbangan Bakul Ramadan oleh UUM Holdings Sdn. Bhd. kepada 20 penerima yang melibatkan staf UUM, staf UUM Holdings Sdn. Bhd. serta komuniti luar.

Selain itu, sumbangan MADANI ResQ Pek UUM oleh Majlis Pengetua Inapan Siswa UUM disampaikan kepada 30 pelajar dari Pusat Asasi UUM yang memerlukan.

Turut disampaikan ialah sumbangan Baju Raya oleh Jakel Cawangan Alor Setar kepada 21 penerima yang melibatkan anak-anak yatim dan asnaf RUKAYDA UUM serta pelajar UUM.

Pada majlis sama, hadirin turut menyaksikan pelancaran rekaan karpet baharu bagi Masjid Sultan Badlishah yang diinspirasikan daripada motif pohon Sintok dan batik, hasil rekaan pasukan School of Creative Industry Management and Performing Arts (SCIMPA) UUM.

Turut hadir ialah Wakil Eksekutif UUM Holdings Sdn. Bhd., Encik Faizul Mamat; Timbalan Pengarah Institut Quran Darul Aman (IQDAR), Ustaz Abdul Malik Che Haat; Pengurus Pemasaran Jakel Cawangan Alor Setar, Encik Mohd Zamri Anuar; Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; Pegawai Kanan Universiti dan UUM Holdings Sdn. Bhd.; serta Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Saudara Syahmi Iman Muhammad Rezal bersama barisan Majlis Perwakilan Pelajar UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button