Majlis MISC Grand Soirée
Berita dan gambar oleh Nor Nadia Rahim
SINTOK, 16 Disember 2025: Sempena menghargai sumbangan serta pencapaian pelajar dalam bidang kepimpinan, kesukanan dan kerohanian, Inapan Siswa MISC, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis MISC Grand Soirée 2025 yang berlangsung pada 15 Disember 2025 bertempat di EDC Hotel, UUM.
Penganjuran majlis ini bertujuan menyemai nilai-nilai tanggungjawab sosial serta memupuk semangat kepimpinan, kesukanan dan ukhuwah dalam kalangan pelajar melalui penglibatan aktif dalam Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa/Residen Siswa (JKPS/RS), KASUMA, serta perarakan sambutan Maulidur Rasul 2025M/1447H.
Menurut Pengarah Program, Nur Athirah Aduka, penganjuran Majlis MISC Grand Soirée 2025 bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada para pelajar atas komitmen dan sumbangan yang telah diberikan, malah berperanan penting dalam memperkukuh semangat kepimpinan, kerjasama dan profesionalisme dalam kalangan mahasiswa inasis MISC.

Majlis berprestij ini telah dirasmikan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainuddin Omar.
Sepanjang majlis berlangsung, para hadirin disajikan dengan pelbagai pengisian utama termasuk penyampaian sijil pelantikan dan penghargaan kepada Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa/Resident Siswa (JKPS/RS), pengiktirafan atlet KASUMA, serta penghargaan kepada kontinjen perarakan sambutan Maulidur Rasul Inasis MISC.
Majlis turut diserikan dengan persembahan bakat pelajar, sesi cabutan bertuah dan penyampaian anugerah Best Dress of the Night.

Majlis MISC Grand Soirée 2025 telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Diharapkan penganjuran majlis ini dapat melahirkan barisan kepimpinan siswa yang berintegriti, berdaya saing dan berwawasan selari dengan aspirasi Universiti Utara Malaysia.
Turut hadir memeriahkan majlis Pengarah Pusat Penginapan Pelajar, Mujahid Abd Ghani, barisan pengetua, pihak pengurusan pentadbiran inasis misc serta para pelajar yang diraikan, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan pihak universiti terhadap pembangunan holistik mahasiswa.



