Majlis Serah Tugas Penjawat Baharu SBM perkasa hala tuju strategik pusat pengajian
Berita dan gambar Azam Arni Mohd Noor
SINTOK, 8 Mac 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia telah mengadakan Majlis Serah Tugas Penjawat Baharu yang telah dilantik, baru-baru ini.
Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pentadbiran terdahulu atas komitmen dan sumbangan berterusan dalam memartabatkan SBM sebagai pusat kecemerlangan akademik.

“Semua penjawat baharu perlu menggalas amanah dengan penuh integriti serta mendukung hasrat dan amanat Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dengan memberi keutamaan kepada pembangunan dan kebajikan pelajar sebagai fokus utama dalam setiap perancangan serta pelaksanaan agenda akademik.
“Dari sudut pembangunan pelajar secara holistik, Naib Canselor menyeru agar setiap program akademik memberi nilai tambah melalui pensijilan profesional, pengukuhan jaringan industri serta penglibatan aktif dalam komuniti. Pendekatan ini diyakini mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan reputasi SBM di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penjawat baharu yang dilantik dan berharap agar pelantikan tersebut dapat memperkukuhkan kecekapan pengurusan serta kecemerlangan akademik SBM.
Majlis diakhiri dengan sesi simbolik penyerahan dokumen tugas sebagai tanda komitmen berterusan dalam memastikan kelangsungan kepimpinan dan kecemerlangan SBM.



