Campus

Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Ramadan KSG 2026 suburkan kecintaan pelajar UUM terhadap Al-Quran

Berita dan gambar Muhammad Najmudin Nadzri

SINTOK, 15 Mac 2026: Kelab Sejarah Gunaan (KSG) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan sokongan Majlis Perwakilan Pelajar Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (MPP SLCP) telah menganjurkan program Majlis Khatam Al-Quran Ramadan KSG 2026 yang berlangsung semalam.

Majlis yang berlangsung menerusi platform Google Meet ini bertujuan untuk meraikan usaha gigih pelajar UUM yang telah berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran melalui program Majlis Tadarus Al-Quran Ramadan KSG 2026.

Penganjuran program ini merupakan satu inisiatif untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian kerohanian yang amat murni di mana ianya bukan sekadar satu aktiviti kelab, malah menjadi wahana tarbiah untuk menyemarakkan penghayatan Ramadan melalui pengisian rohani yang tersusun dan berterusan.

Sepanjang tempoh pelaksanaannya, bermula daripada sesi taklimat, pembahagian juzuk bacaan, pemantauan secara sistematik, sehinggalah ke hari kemuncak ini, pelbagai bentuk sinergi dan komitmen telah ditunjukkan oleh semua pihak.

Majlis ini turut diserikan dengan ucapan perasmian dan penutup oleh Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie yang meluahkan rasa bangga terhadap komitmen luar biasa jawatankuasa penganjur dan peserta yang turut serta dalam menjayakan program ini.

“Kehadiran Ramadan cukup mengajarkan kita tentang disiplin, sabar dan istiqamah. Semuanya ini merupakan sebuah tarbiah yang didatangkan oleh Allah SWT kepada kita semua supaya didikan yang Allah berikan pada bulan ini sebagai satu bentuk amalan untuk kita bawa berhadapan dengan bulan-bulan selepas Ramadan. Kerana itu, Ramadan merupakan bulan yang cukup istimewa.

“Melalui program tadarus ini, kita bukan sahaja membaca untuk menghabiskan 30 juzuk semata-mata, tetapi kita belajar untuk konsisten, saling menyokong dan bergerak sebagai satu pasukan sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran,” katanya.

Dr. Mohamad Khadafi berkata, program seumpama ini amat sejajar dengan matlamat pusat pengajian yang sentiasa menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembinaan sahsiah bagi melahirkan graduan yang bijak berfikir serta kuat pegangan agamanya.

Beliau menyifatkan kesanggupan pelajar meluangkan masa bersama Al-Quran di sebalik keseronokan bercuti semester dan persiapan semester baharu sebagai satu cerminan nilai keutamaan peribadi yang tinggi.

Sementara itu, Pengarah Program merangkap Exco Kerohanian dan Sahsiah KSG UUM, Muhammad Dhiyaurrahman Rosman menyifatkan kejayaan majlis tersebut adalah hasil kerjasama dan komitmen jitu daripada semua pihak dalam menggalakkan amalan mendampingi Al-Quran sepanjang Ramadan.

“Penyertaan yang memberangsangkan ini menunjukkan sambutan positif terhadap program berunsurkan kerohanian. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua barisan jawatankuasa dan peserta.

“Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan bagi memupuk budaya membaca Al-Quran secara berterusan dalam kalangan warga pelajar,” katanya.

Bagi Presiden Kelab Sejarah Gunaan, Muhammad Najmudin Nadzri, beliau menyifatkan penganjuran program ini adalah langkah yang relevan dan kritis pada masa kini.

“Dalam era di mana pelajar terikat dengan peranti pintar dan berada di rumah, menyelitkan elemen kerohanian melalui medium teknologi merupakan satu pendekatan dakwah dan tarbiah yang bijak. Hal ini memastikan kesihatan mental dan spiritual pelajar sentiasa terjaga.

“Pihak penganjur, KSG dan rakan kerjasama telah membuktikan kecekapan organisasi yang tinggi dalam mengadaptasi program tradisional ke dalam format digital tanpa mengorbankan nilai murninya,” katanya.

Turut hadir memeriahkan program tersebut adalah barisan Timbalan Dekan SLCP, Pengerusi Program, pensyarah kanan, serta pegawai pentadbiran pusat pengajian.

Penganjuran majlis yang penuh bermakna ini bertepatan dengan pegangan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) iaitu “Budi, Adab, Pemikiran”. di mana ia berjaya menyuburkan keluhuran budi, menonjolkan kehalusan adab menuntut ilmu, dan memandu pemikiran mahasiswa ke arah yang lebih positif berteraskan Al-Quran.

Berpegang teguh pada falsafah “History For The Future”, inisiatif mendampingi Al-Quran ini sesungguhnya adalah proses mengambil panduan agung masa lalu demi mencorakkan generasi masa hadapan yang gemilang.

Program seperti ini diharap dapat memperkukuh ikatan persaudaraan dan jati diri kerohanian dalam kalangan mahasiswa, sekali gus melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga seimbang dari sudut sahsiah, moral, dan kedekatan dengan Sang Pencipta.

Semoga Al-Quran terus menjadi cahaya dan panduan hidup kita secara berterusan pada masa-masa akan datang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button