Malam SKTU meriah dengan persada budaya
SINTOK, 20 Februari 2025: Inapan Siswa (INASIS) Proton, Universiti Utara Malaysia (UUM) International Inbound Mobility: Sinergi Kelestarian Tiga Universiti (SKTU) anjuran INASIS Proton telah diadakan di Dewan Bunga Raya, INASIS Mas.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed sebagai menandakan permulaan rasmi program mobiliti yang menghimpunkan pelajar dari UUM dan Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia.
Dr. Ahmad Martadha mengucapkan tahniah kepada semua jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakan program berimpak tinggi ini.
Beliau menekankan bahawa kolaborasi antara tiga universiti ini merupakan pencapaian bermakna dalam memperkukuh jaringan akademik serta memperkasakan agenda kelestarian dalam pendidikan tinggi.
“Saya berharap agar program ini dapat memperkukuhkan nilai inovasi, keterbukaan, dan kelestarian, yang menjadi asas penting dalam membentuk pemimpin masa hadapan.
“Usaha ini juga seiring dengan komitmen UUM dalam menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan yang inklusif dan berkualiti,” katanya.
Majlis ini turut diserikan dengan malam kebudayaan, menyaksikan pelbagai persembahan seni dan budaya oleh pelajar UUM dan UMY. Antara yang menarik perhatian hadirin ialah deklamasi sajak, nyanyian, dan tarian tradisional, yang mencerminkan keunikan serta kepelbagaian budaya Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu, Pengarah Program, Nur Hasya Najihah Zamzuri berasa terharu kerana diberikan kepercayaan untuk menerajui program ini walaupun masih di Semester 1.
“Ini adalah pengalaman yang amat bermakna buat saya. Walaupun cabarannya besar, saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada rakan-rakan serta pihak penganjur.
“SKTU bukan sekadar program mobiliti, tetapi juga satu platform untuk kita membina jalinan persahabatan dan menghargai kepelbagaian budaya,” katanya.
Penganjuran INASIS Proton, Universiti Utara Malaysia International Inbound Mobility: Sinergi Kelestarian Tiga Universiti (SKTU) bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh hubungan akademik tetapi juga untuk memupuk semangat perpaduan dan saling menghormati antara budaya dua negara.
Program ini akan berlangsung sehingga 28 Februari yang mengambil tempat di UUM dan Universiti Sains Malaysia (USM) kemudiannya, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti akademik dan kebudayaan yang dirancang bagi memberi pengalaman berharga kepada peserta. – Mohamed Nazreen Shahul Hamid