Maybank Padawan 3.0 Bantu Pelajar UUM Tingkat Keyakinan dan Kemahiran Pengurusan Kewanga
Berita dan gambar oleh Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 5-6 Oktober 2025: Seramai 32 peserta Maybank Padawan 3.0 telah menyertai Bengkel Maybank Padawan dan Sesi Mock Interview sempena Maybank Day yang berlangsung pada 5 dan 6 Oktober 2025 di Kampus UUM Sintok.
Program anjuran bersama Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dan Maybank ini bertujuan meningkatkan celik kewangan pelajar serta memperkukuh kemahiran insaniah melalui aktiviti berstruktur dan interaktif.
Hari pertama program menampilkan sesi mock interview yang dijalankan secara simulasi bagi menilai kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan keupayaan peserta berinteraksi dalam suasana profesional. Peserta turut menerima maklum balas daripada wakil Maybank bagi membantu penambahbaikan diri sebelum menghadapi temu duga sebenar.
Sementara itu, hari kedua diisi dengan aktiviti literasi kewangan dan latihan berkumpulan yang memberi pendedahan kepada pengurusan bajet, simpanan serta kepentingan membuat keputusan kewangan secara bijak. Aktiviti ini turut memupuk semangat kerja berpasukan dan komunikasi berkesan dalam kalangan pelajar.
Menariknya, pada sebelah petang, pelajar turut berpeluang menyertai sesi santai bermain badminton bersama Maybank. Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pelajar dan pihak industri, malah menjadi medium untuk memupuk semangat kesukanan, kerjasama serta keseimbangan antara akademik dan gaya hidup sihat.
Menurut Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, penganjuran sempena Maybank Day ini bukan sahaja memberi ilmu kewangan kepada pelajar tetapi turut membina kemahiran insaniah yang penting bagi menghadapi dunia pekerjaan.
“Melalui program seperti ini, pelajar bukan sahaja memahami kepentingan literasi kewangan, tetapi juga belajar berkomunikasi dan bekerjasama dengan lebih yakin serta berkesan,” katanya.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan antara PPKKG dan Maybank dalam memperkukuh hubungan industri serta memperkasakan pelajar UUM agar lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan dengan kemahiran dan pengetahuan yang seimbang.