Campus

MBUCK lonjak keyakinan pelajar UUM hadapi dunia pekerjaan

Gambar oleh: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) 

SINTOK, 7 Oktober 2025: Program MBSB University Career KickStart (MBUCK) yang menawarkan bimbingan kerjaya telah memberi impak besar dalam membantu pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) membuat persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Lebih 100 pelajar dari pelbagai pusat pengajian seperti Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) menyertai program pembangunan kerjaya eksklusif itu yang berlangsung di Dewan Konvensyen C.

Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) UUM, Dr. Fikriyah Abdullah, program anjuran PPKKG dan MBSB Bank ini bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan pelajar melalui pelbagai aktiviti yang menekankan aspek kemahiran kerjaya dan kebolehpasaran.

“MBUCK merupakan platform yang sangat bernilai untuk pelajar mempersiapkan diri sebelum memasuki dunia pekerjaan sebenar.

“Kami berharap pendedahan yang diperoleh melalui program ini mampu memberi impak positif kepada pelajar, memperkukuh kemahiran insaniah mereka, dan seterusnya membuka lebih banyak peluang kerjaya,” ujarnya.

Ujarnya, kehadiran pihak industri memberi nilai tambah apabila pelajar berpeluang mendapatkan maklumat terkini berkaitan trend kerjaya, keperluan pasaran serta kemahiran yang dicari oleh majikan masa kini.

Pelbagai aktiviti menarik yang berlangsung sepanjang hari antaranya Sesi ceramah kerjaya oleh Group Chief People Officer MBSB Bank, Farid Basir, yang berkongsi pandangan serta pengalaman mengenai trend semasa dalam industri pekerjaan.

“Saya sangat teruja dengan sambutan yang diberikan oleh pelajar UUM terhadap program yang dijalankan dan mereka menunjukkan minat yang sangat tinggi,” katanya.

menurutnya lagi dengan sambutan yang sangat meriah dari pihak UUM, MBSB pastinya akan kembali ke UUM dengan menawarkan lebih banyak lagi program kepada pelajar.

Program ini turut menyediakan slot Bengkel Literasi Kewangan oleh Head, Sales Management MBSB Bank, Vijayan Karunanithi, yang memberikan pendedahan berkaitan pengurusan kewangan peribadi sebagai persediaan kerjaya.

Diikuti Sesi khas bersama Head of Public Sector LinkedIn Malaysia, Nur Mastura Mansor, yang berkongsi strategi membina profil profesional di LinkedIn dan kepentingan personal branding dalam era digital.

Menariknya sesi ‘mock interview’ bersama kakitangan MBSB Bank mendapat sambutan hangat. Para pelajar berpeluang merasai pengalaman sebenar dalam suasana temu duga serta menerima maklum balas yang membina untuk penambahbaikan diri.

Menambah seri majlis, MBSB turut menyediakan hadiah dan e-wallet kepada para pelajar.                                  Program ini  menyediakan ruang interaksi secara langsung antara pelajar dan pihak industri serta mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan UUM. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button