MDPA fokus isu perjawatan dan hala tuju program asasi Universiti Awam
Gambar oleh: Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA, Universiti Sultan Zainal Abidin
TERENGGANU, 22 September 2025: Majlis Dekan/Pengarah Asasi (MDPA) Universiti Awam yang dianggotai oleh 14 buah Pusat Asasi Universiti Awam termasuk Politeknik Ungku Omar sebagai wakil TVET telah menganjurkan Bengkel Perjawatan dan Hala Tuju Program Asasi IPTA.
Bengkel ini menumpukan perbincangan kepada isu perjawatan tenaga pengajar program asasi serta penilaian kualiti oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Menyentuh berhubung perkara itu, Pengarah Bahagian Standard MQA, Puan Rohasni binti Sidek sebagai penceramah jemputan, berkata pendekatan MDPA dalam mendapatkan maklumat serta maklum balas yang jelas merupakan inisiatif baik bagi memastikan kualiti program asasi sentiasa berada pada landasan yang betul. Bengkel ini turut dihadiri oleh Penolong Pendaftar Pusat Asasi Universiti Awam.
Pada sebelah malam, ahli MDPA turut diraikan dalam Majlis Makan Malam MDPA yang diserikan dengan kehadiran Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam.
Sementara itu, pada 23 September juga, MDPA telah bersidang dalam Mesyuarat MDPA ke-38 Bil. 3/2025 yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia.
Antara agenda yang dibincangkan termasuk persediaan pertandingan tahunan Inter Asasi 2026 iaitu Kejohanan Sukan Asasi Malaysia (SAM), Pertandingan Inovasi Antara Asasi Malaysia (PITRAM), Pertandingan Debat Antara Asasi (PeDAA) dan Festival Pantun Antara Asasi (FANTASI) yang menjadi wadah penglibatan serta pembangunan potensi pelajar Asasi.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan perkembangan pembangunan Modul STEM terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang melibatkan penyertaan penulis modul dari Pusat Asasi Universiti Awam.
Turut hadir mesyuarat adalah Prof. Dr. Zulkhairi Haji Amom, Pengarah Pusat Asasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohd Alhafiizh Zailani, Pengarah Pusat Pengajian Pra Universiti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan ahli-ahli Majlis Dekan/ Pengarah Asasi Universiti Awam. – Nur Diyana Othman