Campus

Minggu suai kenal pelajar baharu SQS 2025/2026 ceriakan suasana kampus

Gambar oleh Zamalik Hassan

SINTOK, 24 September 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Minggu Suai Kenal (MSK) khusus buat pelajar baharu bagi sesi akademik 2025/2026.

Program ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai perjalanan pengajian di SQS serta membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti.

Seramai 179 pelajar baharu telah mendaftar di SQS pada sesi kali ini, terdiri daripada 49 orang pelajar Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Matematik Perniagaan), 45 orang pelajar Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Statistik Industri), serta 85 orang pelajar Sarjana Muda Sains Matematik Pemutusan dan Data Analitik dengan Kepujian. Kehadiran kumpulan pelajar baharu ini menandakan pertambahan tenaga muda yang bakal mewarnai komuniti akademik di SQS.

MSK ini telah dikendalikan oleh Pengerusi Majlis, PM Dr. Jafri bin Haji Zulkepli Hew, yang turut memastikan kelancaran perjalanan program dari awal hingga akhir acara.

Antara pengisian utama MSK ialah sesi pengenalan pusat pengajian yang memperkenalkan struktur organisasi, bidang pengajian serta kemudahan yang terdapat di SQS. Seterusnya, pelajar baharu dibahagikan mengikut program masing-masing untuk mengikuti taklimat akademik yang disampaikan oleh penyelaras program.

Taklimat tersebut merangkumi struktur kurikulum, keperluan kursus, sistem penilaian, serta peluang penglibatan dalam aktiviti kokurikulum.

Dalam ucapan aluan, PM Dr. Nerda Zura binti Zabidi, Yang Menjalankan Tugas Dekan SQS, mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar baharu.

Beliau turut menekankan kepentingan pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), menyertai persatuan pelajar serta aktiviti kokurikulum, di samping mengambil peluang program mobiliti antarabangsa yang ditawarkan oleh universiti.

“Penglibatan aktif dalam aktiviti persatuan, ko-kurikulum, dan mobiliti bukan sahaja membina pengalaman di luar bilik kuliah, tetapi juga memperkayakan kemahiran insaniah yang sangat penting untuk kerjaya masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau lagi, SQS sentiasa komited untuk melahirkan graduan yang seimbang dari aspek akademik dan sahsiah, selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pemimpin masa hadapan.

MSK ini disambut dengan penuh semangat oleh pelajar baharu yang berasa lebih yakin serta bersedia menempuh fasa kehidupan universiti bersama komuniti SQS. – Dr. Nor Hasliza Mat Desa

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button