Campus

Naib Canselor ajak staf jadi pegawai tadbir berfikir dan profesional

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 31 Mac 2026: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed mengajak warga pentadbiran universiti agar sentiasa menjadi “pegawai tadbir berfikir” dalam melaksanakan tugas harian.

Menurut beliau, setiap staf perlu menggunakan pertimbangan yang baik dan bertindak secara profesional, khususnya ketika berurusan dengan pelajar dan pihak berkepentingan.

“Setiap hari, kita perlu berfikir tentang kaedah pentadbiran yang kurang baik untuk diperbaiki serta mengambil kira pandangan stakeholder mengenai pekerjaan kita supaya penambahbaikan dapat dilakukan secara berterusan.

“Sebagai penjawat universiti, kita perlu berdepan dengan pelajar dan stakeholder secara profesional. Elakkan daripada bersikap mudah marah, sebaliknya selesaikan tanggungjawab dengan baik.

“Selain kecekapan dalam kerja profesional, kita juga mesti mempunyai kemahiran mengawal emosi diri dengan mengutamakan pendekatan berhemah dalam menyelesaikan sebarang isu,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen UUM, bersempena program “Sepetang Bersama Naib Canselor: Aspirasi Budi Bakti – Mendukung Visi, Memperteguh Organisasi” anjuran Jabatan Sumber Manusia (JSM), semalam.

Dr. Ahmad Martadha berkata, budaya kerja yang positif, tenang dan berfokus kepada penyelesaian akan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memperkukuh imej universiti.

Sehubungan itu, beliau berharap semua warga kerja UUM dapat terus meningkatkan kompetensi diri serta mengamalkan nilai profesionalisme dalam usaha memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, mesra dan berkesan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button