Naib Canselor kongsi lima dasar capai kecemerlangan dengan Badan Pelajar UUM
Gambar Dea Vaniessa Mohamaad Rohaizan
SINTOK, 12 Januari 2025: Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan telah menggariskan lima dasar utama untuk mencapai kecemerlangan universiti pada tahun 2025 pada Majlis Amanat Naib Canselor Bersama Badan Pelajar Sesi 2024/2025 di Pusat Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM).
Beliau menekankan dasar pengurusan pendidikan yang berfokuskan kecemerlangan akademik, dasar infrastruktur dan infostruktur yang bertujuan memperkasa kemudahan dan sistem di kampus, dasar pengurusan dan pemampanan kewangan untuk memastikan kelestarian kewangan, dasar pengantarabangsaan yang menyasarkan pengiktirafan global, serta dasar pengurusan komuniti yang menekankan kerjasama dan keharmonian dalam kalangan warga universiti.
Kesemua dasar ini menunjukkan kesungguhan UUM untuk terus memacu kecemerlangan dan menghasilkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berdaya saing dan memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.
Selain itu, beliau turut menggariskan pencapaian universiti yang membanggakan seperti berada di tempat pertama di Malaysia untuk kategori universiti awam berfokus, universiti awam bukan penyelidikan dan universiti awam berusia bawah 50 tahun.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen universiti terhadap kualiti akademik dan pembangunan modal insan yang unggul, menjadikan UUM sebagai pilihan utama di kalangan pelajar dan penyelidik, khususnya dalam bidang pengurusan dan kepimpinan.
“Komitmen dan sokongan padu daripada semua pihak khususnya pelajar, dijangka akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi dan misi universiti untuk terus menjadi peneraju pendidikan yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Majlis Amanat Naib Canselor Bersama Badan Pelajar Sesi 2024/2025 ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyampaikan hala tuju strategik UUM, tetapi juga mengukuhkan semangat kerjasama antara pihak pengurusan universiti dan pemimpin pelajar dalam mencapai kecemerlangan bersama.
Dengan pencapaian yang membanggakan dalam pelbagai bidang pada tahun 2024, UUM terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan untuk menghadapi cabaran tahun 2025.
Majlis ini merupakan penutup kepada Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) Perdana Badan Pelajar Sesi 2024/2025 yang dihadiri oleh lebih 350 peserta terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Tertinggi Kelab/Persatuan, dan Majlis Tertinggi Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) anjuran Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), MPP dan Majlis Presiden JKPS (MPJ).
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi serta pegawai-pegawai utama seperti Pengerusi Majlis Pengetua Inapan Siswa UUM, Prof. Madya Dr. Rohani Abdullah; Pengurus Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Mohd Farhan Ismail, pengetua-pengetua Inapan Siswa serta pegawai Hal Ehwal Pelajar. – Ang Yan Wei