Campus

Pakar Bidang Bibliometrik, Saintometrik letakkan Dr Khairul Hafedad Saintis 2% Dunia

Gambar oleh Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah

SINTOK, 14 Oktober 2025: Kecemerlangan penyelidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah, pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), tersenarai dalam Top 2% Saintis Dunia 2025 yang dikeluarkan oleh Universiti Stanford, Amerika Syarikat.

Ts. Dr. Khairul Hafezad, yang mempunyai kepakaran dalam bidang bibliometrik, scientometrik, analisis trend penyelidikan dan penilaian impak penerbitan ilmiah, diiktiraf atas sumbangan signifikan beliau dalam memperkasa penyelidikan berasaskan data dan bukti, khususnya dalam bidang Library and Information Sciences.

Menurut beliau, fokus utama penyelidikannya berkisar kepada kajian trend penerbitan dan corak perkembangan penyelidikan dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk pengurusan keselamatan, alam sekitar dan sains sosial.

“Melalui pendekatan bibliometrik dan scientometrik, saya meneliti corak penyelidikan dan mengenal pasti jurang kajian yang boleh dijadikan asas rujukan serta panduan kepada penyelidik pada masa hadapan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa penyelidikan bibliometrik dan scientometrik bukan sekadar analisis penerbitan, tetapi juga membantu pembuat dasar serta industri memahami keutamaan dan jurang penyelidikan di Malaysia.

“Dapatan daripada kajian-kajian ini dapat menyokong pembangunan dasar berasaskan bukti dan memperkukuh kolaborasi akademik Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Walaupun pengiktirafan tersebut diterima dalam bidang Sains Sosial (Library and Information Sciences), sebahagian besar kajian beliau turut merangkumi subjek Business and Management, dengan tumpuan kepada corak penerbitan, kolaborasi penyelidikan dan impak sitasi di peringkat global.

“Usaha ke arah pencapaian ini telah saya mulakan sejak tahun 2021 melalui kolaborasi aktif bersama penyelidik dari Malaysia, Indonesia dan beberapa negara lain. Saya percaya kunci kejayaan ialah konsistensi dalam penyelidikan, fokus terhadap kualiti dan impak, serta keterbukaan untuk berkolaborasi di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Kepakaran beliau turut merangkumi penggunaan analisis data bibliometrik dan sains maklumat bagi mengenal pasti hala tuju penyelidikan, prestasi penerbitan serta potensi kolaborasi strategik antara universiti dan industri.

Pengiktirafan ini bukan sahaja membuktikan keunggulan individu Ts. Dr. Khairul Hafezad, tetapi turut mengangkat nama UUM dalam peta penyelidikan global, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan penyelidik berimpak tinggi dan memperkukuh reputasi akademik di peringkat antarabangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button