Pelajar UNP dan SBM rai kepelbagaian budaya
Berita dan gambar Azam Arni Mohd Noor
SINTOK, 6 November 2025: Suasana penuh keceriaan dan semangat kebersamaan mewarnai Malam Kebudayaan dan Majlis Penutupan Program Inbound Mobility Universitas Negeri Padang (UNP) 2025, yang diadakan pada 15 Oktober lalu di Restoran Sri Beringin, EDC UUM.
Program Inbound Mobility yang berlangsung dari 7 hingga 16 Oktober itu dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan kerjasama Inapan Siswa (Inasis) Bank Rakyat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jalinan akademik dan kebudayaan antara UUM dan Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia.

Majlis penutupan diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan; Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad; Pengetua Inasis Bank Rakyat, Dr. Mohd Fitri Yusoff serta barisan pengurusan dan pentadbiran SBM yang hadir bagi memberikan sokongan kepada para pelajar.
Dr. Shuhymee menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua UUM Buddies dan ahli jawatankuasa kelab pelajar di bawah SBM yang telah bertungkus-lumus menjayakan pelaksanaan program ini dari peringkat perancangan hingga ke majlis penutup.
Beliau turut memuji semangat kerjasama dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh pelajar, staf akademik serta pentadbiran SBM.

Sementara itu, Penyelaras Program yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SBM, Dr. Norzalila Jamaludin berkata, malam kebudayaan ini bukan sekadar acara penutup tetapi simbol kepada semangat persahabatan dan kefahaman rentas budaya antara pelajar Malaysia dan Indonesia.
Pelbagai persembahan menarik dipersembahkan oleh pelajar UNP dan UUM termasuk tarian tradisional, nyanyian, serta tayangan video aktiviti sepanjang program. Sesi penyampaian sijil turut diadakan bagi menghargai penyertaan pelajar, yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan keseluruhan program ini.



