Campus

Pelajar UUM rangkul tempat pertama dalam Proton Business Case Study Challenge 2025

Berita dan gambar oleh Anis Zulaikha Kamal

SINTOK, 19 November 2025: Empat pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Cheah Ka Ying dan Wong Jing Ru pelajar dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Ooi Xin Rhu dan Lee Teng Fang dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah membuktikan keupayaan mereka apabila berjaya meraih tempat pertama dalam PROTON Business Case Study Challenge 2025, sebuah pertandingan berprestij yang menghimpunkan pelajar dari empat universiti utama di wilayah utara.

Kemenangan ini lebih bermakna apabila salah seorang ahli pasukan, Cheah Ka Ying turut menerima conditional offer letter daripada PROTON sebagai pengiktirafan atas potensi dan prestasinya yang cemerlang.

Pertandingan yang dianjurkan oleh PROTON ini melibatkan penyertaan daripada enam pasukan terdiri daripada UUM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok manakala Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) masing-masing menghantar dua pasukan.

Program ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk menonjolkan kemahiran analisis, kreativiti serta kemampuan merangka strategi bagi menyelesaikan cabaran dunia sebenar dalam industri automotif.

Tema pertandingan tahun ini memfokuskan kepada gelombang transformasi industri automotif ke arah penggunaan kenderaan elektrik (EV). Dengan pelancaran e.MAS 5, EV mampu milik pertama di Malaysia, para peserta ditugaskan menjawab “Penyataan masalah: Bagaimanakah PRO-NET boleh memposisikan e.MAS 5 sebagai EV terbaik untuk anak muda Malaysia?” Mereka juga perlu mengemukakan cadangan pemasaran strategik dan rumusan bagaimana PROTON boleh menerajui pembudayaan EV dalam negara menjelang 2030.

Penjurian dilakukan oleh tiga pakar industri PROTON, iaitu Saharudin Esa, Pengurus Besar Penyelidikan & Pembangunan; Mahmad Roslee Shaari, Pengurus Kanan HRBP Group Manufacturing dan Mohd Marzuki Abdul Majid, Ketua Integrasi Kenderaan Lengkap. Setiap kumpulan diperuntukkan 25 minit, termasuk 10 minit pembentangan dan 15 minit sesi soal jawab.

UUM diumumkan sebagai juara tempat pertama dan menerima hadiah wang tunai RM3,000. Tempat kedua dimenangi oleh UiTM Kedah yang membawa pulang RM2,000, manakala UTP meraih tempat ketiga dengan hadiah RM1,000.

Semua pemenang tempat pertama dari setiap peringkat wilayah akan mara ke Grand Finale yang akan diadakan di Putrajaya pada 13 Disember ini.

Menurut Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) merangkap penasihat kepada pelajar-pelajar ini berkata, “Kejayaan pelajar UUM ini membuktikan bahawa mereka bukan sahaja berkemahiran dari segi akademik, tetapi juga kreatif dan berani mencabar diri dalam situasi sebenar. Diharap dengan pencapaian ini akan menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus berinovasi.”

Kemenangan ini bukan sahaja mengharumkan nama UUM, malah membuktikan kemampuan pelajar universiti tersebut bersaing secara profesional dalam menyelesaikan cabaran industri sebenar.

Pengiktirafan yang diterima oleh Cheah Ka Ying turut mencerminkan potensi pelajar UUM untuk melangkah lebih jauh dalam dunia kerjaya automotif dan teknologi, seterusnya menyumbang kepada masa depan industri mobiliti negara.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button