Perbincangan antara CUIC dan KWSP fokus peningkatan literasi kewangan pelajar UUM
SINTOK, 9 Disember 2024: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan perbincangan strategik bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membincangkan hasil dapatan Kajian Literasi Kewangan di kalangan pelajar UUM.
Kajian tersebut merupakan salah satu inisiatif dalam memperkukuhkan keupayaan pelajar untuk mengurus kewangan dengan lebih berkesan di masa hadapan.
Sesi perbincangan ini dipengerusikan oleh Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, manakala pihak KWSP pula diketuai oleh Ketua Seksyen Perkongsian dan Perikatan Strategik Shell, Khadijah Yusof.
Kedua-dua pihak menyatakan komitmen mereka dalam meneruskan kerjasama berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai sebelum ini.
Dr. Chandrakantan berkata, dapatan kajian ini menjadi asas penting dalam memahami cabaran kewangan yang dihadapi oleh pelajar.
“Kita ingin memastikan pelajar UUM bersedia menghadapi realiti kewangan selepas tamat pengajian. Kerjasama erat dengan KWSP adalah langkah strategik untuk merealisasikan misi ini,” katanya.
Khadijah turut berkongsi pandangan bahawa KWSP komited untuk mendidik golongan muda mengenai kepentingan simpanan dan pelaburan. “Kami percaya bahawa literasi kewangan bukan sahaja tentang pengurusan wang, tetapi juga membina masa depan yang kukuh untuk generasi muda,”
Perbincangan diakhiri dengan persetujuan untuk memperkukuh lagi pelaksanaan program literasi kewangan di kampus dan mengkaji inisiatif baharu yang lebih inovatif.
Dengan adanya sinergi antara UUM dan KWSP, diharapkan usaha ini akan memberikan impak positif kepada pelajar UUM serta melahirkan graduan yang celik kewangan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. – Siti Nazirah Jaya