Campus

Persatuan Pengurusan Teknologi UUM jayakan Program Sukan Taekwondo melalui realiti maya

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Zakirah Othman

SINTOK, 3 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Persatuan Pengurusan Teknologi (MOTIC) dengan kerjasama Kelab Taekwondo Changlun Star (WTF) telah menganjurkan Kejohanan Virtual Taekwondo Changlun Star (TM/WTF) 2025 Peringkat Daerah Kubang Pasu yang berlangsung di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim berkata, program ini bertujuan memperkenalkan pendekatan baharu dalam sukan taekwondo melalui penggunaan teknologi realiti maya (VR).

Menurutnya, ianya sekali gus memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi integrasi teknologi dalam latihan sukan moden yang inovatif.

“Program ini berjaya mengasah bakat kepimpinan dan sahsiah pelajar dalam mengurus serta mengaplikasikan teknologi dan inovasi,” katanya.

Program ini telah berjaya menarik penyertaan hampir 100 pelajar sekolah sekitar daerah Kubang Pasu, sekali gus memupuk semangat kesukanan, disiplin, serta minat terhadap inovasi teknologi dalam bidang seni mempertahankan diri.

Sementara itu, Penasihat Kelab Taekwondo Changlun Star, Mohamad Syazwan Yusuff yang juga merupakan Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, menegaskan bahawa jalinan kerjasama seperti ini wajar diteruskan, khususnya bagi menyokong pelaksanaan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan, dan Kokurikulum (PJSK) untuk manfaat komuniti setempat.

Menurutnya, PJSK adalah sistem penilaian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan untuk menilai dan merekod markah penyertaan serta pencapaian murid dalam aktiviti luar darjah.

Pengarah Program, Muhammad Razin Aqil Roslan berkata, program ini juga adalah sebahagian pembelajaran praktikal untuk kursus BJTIK3123, Realiti Maya dan mendapat sokongan daripada pengarah Pusat Ko-Kurikulum UUM, Dr. Za’im Ahmad.

Turut hadir melancarkan program ini ialah Nur Fadziana Mohamed Faisal wakil daripada Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang merupakan pengajar dan penyelidik teknologi Realiti Maya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button