Peserta DPIPPM 2025 diraikan dalam Majlis Welcoming Dinner
Berita dan gambar Mohd Amir Aizat Sainon
SINTOK, 26 Oktober 2025: Peserta Pertandingan Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri (DPIPPM) 2025 telah diraikan dalam suasana penuh mesra dan berprestij menerusi Majlis Welcoming Dinner yang berlangsung di EDC-UUM, Jumaat lalu.
Majlis tersebut menandakan pembukaan rasmi DPIPPM 2025 yang dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan UUM sebagai tuan rumah, serta mendapat kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan Yayasan PEACE.

Program itu diadakan bagi meraikan kehadiran peserta dari seluruh negara yang bersaing dalam pertandingan berteraskan nilai integriti dan kepimpinan berprinsip.
Edisi kali ini menghimpunkan 60 pasukan melibatkan 120 pendebat dan 60 pengiring daripada 23 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), sebuah politeknik, sebuah kolej vokasional, serta satu institusi ASEAN, menjadikan penganjuran tahun ini antara yang terbesar sejak diperkenalkan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan hakim debat, pegawai kanan universiti, serta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, Mohamad Amar Aidi Mohd Zain, yang bersama-sama meraikan para peserta dalam suasana harmoni dan penuh keakraban.

Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada IIM atas kepercayaan menjadikan UUM tuan rumah penganjuran kali ini.
Beliau berkata, DPIPPM bukan sekadar medan pertandingan retorik, tetapi platform intelektual yang menyatukan pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk berhujah, bertukar pandangan serta memperkukuh nilai integriti sebagai asas kepimpinan masa depan.
Menurutnya, penganjuran kali ini amat signifikan kerana bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan perpaduan serantau dalam menjunjung nilai integriti.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah IIM, Dato’ Sri Mustafar Ali, dalam ucapannya yang penuh semangat dan puitis, menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik termasuk UUM, MADUM dan Yayasan PEACE atas komitmen dan kerjasama menjayakan DPIPPM 2025.
Majlis turut diserikan dengan persembahan pelajar serta sesi ramah mesra antara peserta, urusetia dan tetamu jemputan, sekali gus memupuk semangat kekitaan dan intelektual yang tinggi menjelang bermulanya pertandingan.
Pengarah DPIPPM 2025, Aina Farhana Balqis Khairul Suhaimi berkata, penganjuran kali ini merupakan edisi kedua selepas 2011 dan memberi tumpuan kepada isu-isu integriti dalam kerangka Governance di bawah Environmental, Social and Governance (ESG).
Pertandingan bertemakan “Belia Berintegriti, Asas Ketahanan Negara” itu berlangsung dari 24 hingga 27 Oktober 2025 di kampus UUM, dan majlis penutup dijangka disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.



