Campus

PESKON38 tutup tirai dengan meriah, serlah kreativiti dan kepimpinan pelajar

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 17 November 2025: Pesta Konvokesyen Ke-38 (PESKON38) Universiti Utara Malaysia (UUM) melabuhkan tirainya dengan meriah dan berwarna-warni di Padang Kawad PALAPES, Jumaat lalu.

Selepas sembilan hari penganjuran, PESKON38 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara tahunan terbesar kampus yang menggabungkan pelajar, alumni dan komuniti setempat.

Pengarah Program, Muhammad Amirul Mohd Yusof, merakamkan penghargaan kepada 170 sekretariat PESKON38 yang bekerja keras memastikan kelancaran penganjuran tahun ini.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sekretariat yang bertungkus-lumus menjayakan PESKON tahun ini.

“Tema ‘Keusahawanan Pemacu Kebitaraan Graduan’ berjaya direalisasikan melalui pelbagai program serta penyertaan luar biasa daripada mahasiswa dan para pengunjung,” katanya.

Amirul turut menegaskan bahawa penganjuran PESKON memberi nilai tambah penting kepada pelajar, khususnya dalam aspek kepimpinan, keusahawanan dan kerja berpasukan.

“Sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Saya berharap pengalaman ini membentuk pelajar yang lebih yakin, berdikari dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang memuji komitmen pelajar dalam memastikan kecemerlangan penganjuran PESKON38.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pelajar yang terlibat. PESKON38 membuktikan kemampuan pelajar UUM dalam pengurusan acara, inovasi dan kepimpinan. Inisiatif sebegini memperlihatkan keupayaan pelajar UUM untuk muncul sebagai graduan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Beliau turut berharap agar penganjuran PESKON akan terus diperkasakan sebagai acara signature universiti.

Menurutnya, penganjuran pada masa hadapan perlu terus dipertingkatkan dari segi kreativiti, pengisian serta impaknya. PESKON bukan sekadar pesta, tetapi platform pembelajaran yang membentuk jati diri graduan.

Majlis pada malam tersebut diserikan dengan persembahan khas artis terkenal tanah air, Hael Husaini, yang memukau penonton melalui rangkaian lagu-lagu popularnya.

Turut berlangsung ialah penyampaian hadiah bagi pertandingan-pertandingan yang dianjurkan sepanjang PESKON 38, selain sesi apresiasi kepada rakan strategik, penaja dan Inapan Siswa yang turut menjayakan pelbagai persembahan.

Sepanjang penganjuran, PESKON 38 menawarkan pelbagai pengisian termasuk pameran agensi kerajaan, ketenteraan serta program kemasyarakatan yang terus mengukuhkan hubungan antara mahasiswa dan masyarakat. – Maisarah Mohd Radzi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button