PPKKG dan Pusaka Intan perkasa pelajar melalui perkongsian industri
Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 23 November 2025: Program kerjaya bertajuk “What Hiring Managers Look for in Fresh Graduates?” yang dianjurkan melalui kerjasama Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dan Pusaka Intan telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), baru-baru ini.
Program ini berjaya menarik penyertaan pelajar daripada pelbagai program pengajian yang ingin memahami kehendak sebenar majikan industri.

Sesi ini menampilkan penceramah jemputan, Pengarah GKK Consultant Bhd., Ts. Dr. Gajendra Balasingham, yang berkongsi perspektif industri tentang kriteria utama yang dicari dalam kalangan graduan baharu.
Beliau menegaskan bahawa graduan perlu memiliki lebih daripada sekadar pencapaian akademik.
“Majikan hari ini mencari graduan yang mampu berfikir, berkomunikasi dan bertindak. Bukan hanya cemerlang di atas kertas, tetapi mempunyai keyakinan, integriti dan kemahiran menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa sikap proaktif, kesediaan belajar, serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan adalah ciri penting untuk kekal relevan dalam pasaran kerja yang dinamik.

Selain perkongsian teori, pelajar turut diberikan tip praktikal mengenai penulisan resume yang berkesan, persediaan sesi temu duga, serta cara membina imej profesional yang meyakinkan.
Pelajar menyifatkan program ini sebagai pendedahan yang sangat bermanfaat dan membantu mereka memahami realiti sebenar dunia pekerjaan. Sesi soal jawab turut membuka ruang kepada peserta mendapatkan nasihat secara langsung daripada pakar industri.
Kerjasama antara PPKKG dan Pusaka Intan ini diharapkan dapat diteruskan sebagai salah satu usaha memperkasa pelajar UUM agar lebih bersedia, kompeten dan diyakini majikan.



