Campus

Program Bubur Lambuk semarakan Sambutan Bulan Kerja Sosial

SINTOK, 27 Mac 2025: Sempena Sambutan Bulan Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) telah telah menganjurkan Program Bubur Lambuk yang berlangsung di Pusat Islam, UUM, baru-baru ini.

Seawal pagi, staf dan pensyarah SAPSP serta dibantu oleh pelajar bersama-sama menyediakan bubur lambuk dari penyediaan bahan hingga mengacau dalam kawah besar, seetrusnya proses mengagihkan kepada staf dilakukan.

Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani berkata, selain diagihkan kepada warga kampus, program ini turut melibatkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan sumbangan bubur lambuk kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok.

Menurutnya, sumbangan ini merupakan kesinambungan kepada program khidmat komuniti yang telah diadakan pada 4 Julai tahun lalu di sekolah tersebut dengan sesi pemindahan ilmu yang menyasarkan pelajar untuk meminati program kesukarelawanan.

“Melalui penganjuran program seperti ini, SAPSP terus komited dalam memperkasakan nilai kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Program Kerja Sosial, Rusimah Sayuti berharap agar program yang dijalankan dan sumbangan yang diberikan akan lebih memberi makna kepada sambutan Bulan Kerja Sosial peringkat SAPSP pada tahun ini.

Sempena Sambutan Bulan Kerja Sosial itu juga, beliau dengan kerjasama Inapan Siswa MAS telah menyampaikan sumbangan Bakul Ramadan kepada staf Uniutama Property Sdn Bhd (UPSB) yang bertugas di bangunan SAPSP sebagai usaha menghargai jasa dan sumbangan petugas kebersihan. – Omar Ibrahim

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button