Campus

Program EJAS 2025 perkasa kefahaman terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah

Gambar oleh Abdul Razak Abdullah

SINTOK, 28 Julai 2025: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program EJAS 2025: Penerangan dan Dialog Mengenai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 bertempat di Dewan Seminar, Pusat Islam UUM.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan, kefahaman dan penjelasan yang menyeluruh mengenai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, khususnya dalam kalangan warga universiti. Selain membina kesedaran hukum dalam masyarakat kampus, ia turut berperanan memurnikan persepsi terhadap undang-undang Syariah sebagai satu sistem yang adil dan bersifat mendidik.

Slot penerangan telah disampaikan oleh Syeikh Mohd Rashdan bin A. Rahman, Penolong Pegawai Agama Daerah Sik yang menghuraikan secara terperinci kandungan enakmen tersebut termasuk kesalahan sumbang mahram, musahaqah, khalwat, serta lelaki yang berlagak seperti perempuan. Kupasan beliau yang padat dan terperinci membuka ruang kefahaman yang lebih jelas tentang pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di negeri Kedah.

Sesi dialog yang berlangsung selepas itu turut mendapat penyertaan aktif daripada para peserta. Pelbagai persoalan telah diajukan secara terbuka dan dijawab secara tuntas oleh Syeikh Mohd Nazif bin Zakaria, Penolong Pengarah (Pencegahan), Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JHEAIK yang hadir sebagai panel khas.

Setiausaha program, Ustaz Muhammad Kamil Yazid, menegaskan bahawa penganjuran program seperti ini amat penting dalam membina kefahaman yang sahih dan seimbang terhadap undang-undang Islam. Menurut beliau, “Kita mahu mahasiswa dan masyarakat memahami bahawa undang-undang Syariah bukan sekadar hukuman, tetapi merupakan satu usaha memelihara maruah, membentuk akhlak dan menjaga keharmonian sosial selaras dengan maqasid Syariah.”

Beliau turut menzahirkan harapan agar program sebegini dapat diteruskan secara berkala dengan penglibatan lebih meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat kampus, demi melahirkan generasi celik hukum dan berjiwa Islami.

Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Ustaz Zar Ie Zakaria, Timbalan Pengarah Pusat Islam UUM yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menyatakan harapan agar ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dan disebarluaskan dalam kalangan masyarakat kampus secara berterusan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button