Program Financial Education for Youth bantu pelajar fahami literasi kewangan
Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG)
SINTOK, 21 April 2025: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Prudential Malaysia telah menganjurkan program Financial Education for Youth pada 15 April lalu di Dewan Bunga Raya, Inapan Siswa (Inasis) MAS.
Pelajar Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Puteri Nabila Zulkefli berkata, program ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada asas pengurusan kewangan dan pelaburan melalui simulasi permainan interaktif ciptaan Robert Kiyosaki, pengarang buku Rich Dad Poor Dad.
Menurutnya, melalui permainan ini, pelajar diajar untuk mengurus kewangan peribadi, memahami perbezaan antara aset dan liabiliti, serta pentingnya menjana pendapatan pasif untuk mencapai kebebasan kewangan.
“Permainan ini sangat menyeronokkan dan pada masa yang sama membuka mata saya tentang bagaimana wang berfungsi dalam dunia sebenar,” katanya.
Program ini turut dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman yang membimbing pelajar sepanjang permainan, selain sesi refleksi dijalankan untuk memastikan pelajar dapat mengaitkan pengalaman permainan dengan kehidupan sebenar.
Sementara itu, Pegawai Psikologi, Nur Farah Johari berkata, pendidikan kewangan seharusnya bermula dari usia muda, dan permainan Cashflow ini merupakan cara terbaik untuk menyampaikan konsep-konsep penting dengan cara yang menarik dan mudah difahami.
Penolong Pengurus Tanggungjawab Korporat Prudential Malaysia, Muhammad Fiqry Idris berterima kasih kepada PPKKG kerana sudi bekerjasama serta memberi peluang kepada mereka untuk menjalankan program ini.
Menurutnya, peserta memberi komitmen yang baik sepanjang program ini dan berharap agar dapat bekerjasama lagi dengan PPKKG pada masa akan datang. – Anis Zulaikha Kamal