Program jamuan Jumaat santuni mahasiswa UUM sempena musim peperiksaan
Oleh: Nor Azlinah Zaini
Gambar: Pusat Islam
SINTOK, 18 Julai 2025: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Jamuan Jumaat Sempena Santai Mahasiswa UUM yang berlangsung serentak di Masjid Sultan Badlishah dan Masjid Imam al-Syafie, Bukit Kachi UUM.
Program ini diadakan bertujuan untuk menyantuni para mahasiswa yang sedang menduduki peperiksaan akhir semester dengan menyediakan juadah tengah hari sebagai tanda sokongan moral dan kebersamaan. Selain itu, program ini juga menjadi wadah untuk menghargai kehadiran para jemaah solat Jumaat melalui jamuan yang sederhana namun penuh makna. Program ini turut menjadi medium mengeratkan hubungan antara mahasiswa, sekretariat masjid serta komuniti kampus dan masyarakat sekitar.
Sebanyak 2,000 pek makanan diagihkan kepada jemaah di Masjid Sultan Badlishah UUM, manakala 500 pek lagi disediakan untuk jemaah Masjid Imam al-Syafie, Bukit Kachi UUM. Juadah yang disediakan terdiri daripada bihun goreng, roti puri bersama kuah sardin dan kari ayam, serta air balang pelbagai jenis yang menyegarkan.
Menariknya, bahan mentah bagi penyediaan makanan ini adalah hasil sumbangan Jabatan HEP UUM, manakala kerja memasak dilaksanakan secara bergotong-royong oleh sekretariat masjid dan penduduk sekitar kampus.
Menurutnya, Penganjuran program ini telah berjaya mencapai matlamat utamanya, iaitu membawa kegembiraan kepada mahasiswa dalam suasana peperiksaan serta memupuk budaya saling menghargai dan memberi. Sambutan hangat daripada jemaah dan para pelajar menunjukkan keberkesanan pendekatan ini dalam menghidupkan suasana mesra komuniti di kampus.
Pusat Islam UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang, demi membina kampus yang sejahtera, prihatin dan bersatu hati.