Program kacau bubur Asyura eratkan ukhuwah warga TISSA-UUM
Gambar oleh Siti Hajar Aziz
SINTOK, 28 Julai 2025: Semangat kebersamaan dan nilai murni terus disemarakkan melalui penganjuran Program Kacau Bubur Asyura anjuran TISSAC 25/26 dengan kerjasama Kelab Kebajikan Pusat Pengajian Perakaunan (TISSA-UUM) yang berlangsung meriah di perkarangan surau wanita TISSA, di sini, semalam.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu melibatkan penyediaan dan pengagihan bubur Asyura secara gotong-royong oleh warga staf, pelajar dan komuniti kampus. Turut memeriahkan acara ialah kehadiran beberapa orang bekas staf TISSA yang dijemput khas bagi mengeratkan kembali hubungan silaturahim dan memupuk rasa kekeluargaan antara generasi lama dan baharu warga pusat pengajian.
Kelab Kebajikan TISSA tidak pernah melepaskan peluang untuk menganjurkan program ini saban tahun, sebagai satu usaha berterusan menyemarakkan tradisi sambutan Asyura di samping memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga pusat pengajian.
Menurut Dr. Dzarfan Abdul Kadir, Pengerusi Kelab Kebajikan TISSAC, program seperti ini perlu terus dipelihara dan disokong kerana impaknya besar kepada pembentukan budaya kerja yang harmoni dan saling menghargai.
“Kami percaya bahawa aktiviti seperti ini bukan sekadar menghidupkan sunnah dan tradisi, tetapi juga menjadi medium terbaik untuk memperkukuh hubungan antara staf, pelajar dan alumni TISSA dalam suasana santai dan bermakna,” katanya.
Sementara itu, Encik Yusuf Lazim, yang bakal bersara pada awal tahun 2026, turut menyuarakan harapan agar tradisi ini diteruskan.
“Saya berharap program sebegini dapat diteruskan setiap tahun kerana ia bukan sekadar memasak, tetapi menyatukan hati-hati kita dalam suasana yang penuh harmoni.”
Program tamat sekitar jam 1.00 petang dengan suasana penuh kemesraan, sekaligus mencerminkan matlamat penganjuran iaitu “Bonding TISSANs with Love and Respect.”