Campus

Program Komuniti “Back to School 2025” IPIZ–LZNK santuni pelajar madrasah

Gambar oleh: Azimah binti Ahmad

SINTOK, 18 November 2025 – Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menganjurkan Program Komuniti “Back to School 2025” Fasa 1 bertempat di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen UUM.

Program yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini menghimpunkan seramai 50 peserta, terdiri daripada 45 pelajar dan 5 orang ustaz dari Madrasah Tahfiz Darul Quran (MTDQ).

Program ini bertujuan menyantuni pelajar kurang berkemampuan serta membantu mereka membuat persediaan bagi sesi persekolahan tahun 2026. Selain itu, program ini turut berperanan memupuk kerjasama strategik antara IPIZ dan LZNK serta mengukuhkan jaringan ukhuwah bersama MTDQ.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa, Asmaul Husna, lagu Negaraku dan Biru Warna, diikuti tayangan video korporat UUM dan LZNK. Seterusnya, para hadirin mendengar ucapan aluan daripada Pengarah IPIZ, disusuli ucapan oleh Setiausaha MTDQ, Ustaz Mohammad Zahid bin Abd. Karim. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan perasmian oleh wakil LZNK, Ustaz Shazril Hanis bin Salmi, yang turut menzahirkan penghargaan kepada IPIZ atas usaha menyantuni komuniti madrasah.

Antara pengisian utama program ialah ceramah khas oleh Felo Bersekutu IPIZ,
Prof. Madya Dr. Mohd. Nizho bin Abdul Rahman dari SLCP UUM, yang menyampaikan syarahan bertajuk “Hidup Insan Mesti Dalam Dua Lagang”. Ceramah beliau sarat dengan pengisian bermanfaat, disampaikan secara santai dengan selingan jenaka serta perkongsian pengalaman ketika menuntut ilmu, menjadikannya antara segmen yang paling mendapat perhatian peserta.

Majlis turut menyaksikan penyampaian mock cheque, serahan jubah kepada para pelajar serta penyampaian cenderahati kepada wakil VIP MTDQ dan LZNK. Turut hadir memeriahkan program ialah Ustaz Afandi bin Abdullah, Ustaz Ikliluddin bin Ahmad Sobri, Ustaz Huzaifah bin Abu Hurairah dan Ustaz Aqil bin Ahmad Sobri dari Madrasah Tahfiz Darul Quran.

Acara diakhiri dengan sesi bergambar, tayangan video montaj dan jamuan makan tengah hari sebelum semua peserta bersurai. Penganjuran program ini diharapkan dapat memberi manfaat berterusan kepada para pelajar madrasah serta memastikan hubungan strategik IPIZ–LZNK terus berkembang pada masa hadapan. – Amierul Firdaus Nabil bin Azmi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button