Campus

Program MOSTI STI 1003 – Bijak Nombor, Bijak Minda suntik minat pelajar terhadap bidang STEM

Gambar oleh Prof. Madya Dr. Adyda Ibrahim

KANGAR, 21 November 2025:  Lima pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) dengan kerjasama guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Abi telah berjaya menganjurkan Program MOSTI STI 1003 – Bijak Nombor, Bijak Minda.

Seramai 51 murid Tahun 5 telah menyertai program yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Rosshairy Abdul Rahman, Prof. Madya Dr. Adyda Ibrahim, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi, Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad dan Dr. Mohammad Zukuwwan Zainol Abidin.

Program ini bertujuan menyuntik minat pelajar terhadap bidang STEM secara umum dan matematik secara khusus melalui pendekatan kreatif serta interaktif.

Antara aktiviti utama ialah permainan Jejak Berlian, iaitu permainan interaktif yang menggabungkan pencarian berlian dengan pengiraan matematik. Murid-murid berpeluang mengira luas bentuk geometri sambil menyelesaikan cabaran dalam suasana santai dan menyeronokkan.

Aktiviti ini bukan sahaja menjadikan konsep matematik lebih mudah difahami, malah turut meningkatkan keterlibatan pelajar secara aktif serta membina keyakinan mereka dalam menyelesaikan masalah.

Program berlangsung dengan penuh semangat ini menyaksikan murid-murid menunjukkan keterujaan sepanjang aktiviti.

Pensyarah SQS bertindak sebagai penceramah dan fasilitator utama, manakala guru-guru SK Abi membantu dalam pelaksanaan bagi memastikan setiap murid mendapat manfaat sepenuhnya. Guru Besar SK Abi, Nordin Abdullah turut hadir memberikan sokongan terhadap kejayaan program ini.

Secara keseluruhannya, Program MOSTI STI 1003 – Bijak Nombor, Bijak Minda di SK Abi telah membuktikan bahawa pembelajaran STEM boleh dilaksanakan secara formal, interaktif dan bermakna.

Kerjasama erat antara pensyarah SQS dan guru-guru SK Abi menjadi contoh terbaik bagaimana pendidikan kreatif mampu mencetuskan motivasi serta meningkatkan pencapaian pelajar dalam matematik. – Prof. Madya Dr. Rosshairy Abdul Rahman

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button