Program pensijilan R&A/MGA level 1 rules seminar
Berita & Gambar: Akademi Golf Nasional
SINTOK, 4 Oktober 2025: Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (AGNUUM) telah berjaya menganjurkan R&A/MGA Level 1 Rules Seminar di Kelab Golf Sultan Sallehuddin.
Program ini merupakan inisiatif AGNUUM bagi memberikan nilai tambah kepada pelajar melalui pensijilan profesional dengan kerjasama Malaysian Golf Association (MGA).
Selain meningkatkan pemahaman pelajar terhadap asas dan prinsip utama Rules of Golf yang ditetapkan oleh The R&A, seminar ini turut memberi pendedahan menyeluruh tentang struktur, terminologi dan aplikasi praktikal berkaitan sukan golf.
Seminar yang diadakan secara tahunan ini dikendalikan oleh penceramah berpengalaman daripada MGA, iaitu Mr. Yeoh Chin Nam. Seramai 25 peserta terdiri daripada pelajar AGNUUM telah menghadiri seminar ini yang dijalankan secara bersemuka.
Mr. Yeoh turut mengadakan demonstrasi di putting green bagi meningkatkan kefahaman dan keupayaan peserta untuk menilai serta mengendalikan situasi di padang golf dengan mematuhi peraturan yang betul.
Menurut Timbalan Pengarah Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar AGNUUM, Prof. Madya Dr. Soo Hooi Sin, seminar ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir dalam permainan golf, tetapi juga mempunyai asas kukuh dalam peraturan golf. Ia sekali gus memberi nilai tambah kepada pelajar selepas bergraduat serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri golf.
Sebagai sebahagian daripada keperluan pensijilan, peserta diwajibkan menduduki peperiksaan secara dalam talian selama satu (1) jam. Peserta yang berjaya melepasi Peperiksaan Peraturan Tahap 1 layak untuk menduduki Seminar Peraturan Tahap 2, iaitu langkah penting ke arah menjadi pengadil golf bertauliah di bawah struktur pensijilan The R&A.