Campus

Program School of Hard Knocks (SOHK) AIA Padawan tingkatkan literasi kewangan pelajar

Berita dan gambar oleh Anis Zulaikha Kamal

ALOR SETAR, 10-11 Oktober 2025: Seramai 40 pelajar telah menyertai Program AIA Padawan yang diadakan pada 10 dan 11 Oktober 2025 bertempat di AIA Alor Setar. Program ini merupakan hasil kerjasama antara Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan AIA Malaysia di bawah inisiatif School of Hard Knocks (SoHK).

Penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan literasi kewangan dalam kehidupan seharian. Melalui sesi perkongsian dan aktiviti latihan yang dikendalikan oleh Trainer AIA, pelajar diberi bimbingan berkenaan pengurusan wang yang bijak, perancangan masa depan serta tanggungjawab kewangan peribadi.

Sepanjang dua hari program berlangsung, pelajar turut didedahkan kepada pelbagai situasi simulasi kewangan yang membantu mereka memahami bagaimana keputusan kewangan yang dibuat pada usia muda boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan ekonomi diri. Pendekatan pembelajaran secara interaktif dan praktikal menjadikan program ini bukan sahaja menarik, malah mudah difahami oleh peserta.

Menurut Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, penganjuran program ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam memperkukuh usaha untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga celik kewangan dan mampu menguruskan sumber kewangan secara berhemah.

“Kemahiran literasi kewangan adalah asas penting dalam kehidupan, dan pendedahan awal seperti ini dapat membantu pelajar membuat keputusan yang lebih baik untuk masa depan mereka,” ujar beliau.

Program ini diharap dapat menjadi platform berterusan dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri, sekaligus membuka lebih banyak peluang kolaborasi pada masa hadapan dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan bertanggungjawab dari segi kewangan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button