Program “share the wear” UUM COLGIS terus perkukuh semangat keprihatinan warga kampus
Berita dan gambar oleh Abu Bakar Omar Hamdan
SINTOK, 8 Disember 2025: Program “Share the Wear” anjuran UUM COLGIS telah berjaya dianjurkan pada Khamis minggu lalu adalah satu inisiatif khidmat komuniti dalaman yang memberi manfaat kepada seluruh warga kampus.

Program ini bertujuan memberikan pakaian percuma kepada semua, terutamanya golongan pelajar, serta komuniti sebagai usaha memupuk budaya berkongsi pakaian dan mengurangkan pembaziran.
Pakaian yang diagihkan dalam program ini dikumpul menerusi hebahan rasmi kepada semua staf pentadbiran dan akademik di bawah COLGIS.
Sumbangan yang diterima meliputi pelbagai jenis pakaian seperti pakaian formal, kemeja, baju batik, baju kurung, tudung, serta pakaian kasual yang masih dalam keadaan baik.

Menurut pihak penganjur, sambutan yang diterima amat menggalakkan, sekali gus menunjukkan kesedaran tinggi dalam kalangan warga universiti tentang kepentingan kelestarian serta sokongan sosial sesama komuniti.
Program ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah menggalakkan amalan mengitar semula pakaian dengan cara yang lebih beretika dan bermanfaat.
UUM COLGIS merancang untuk meneruskan program seperti ini secara berkala sebagai platform membina solidariti, meningkatkan budaya prihatin dan memperkukuh nilai kebersamaan dalam kalangan warga kampus.



