Campus

Program Tamkin Al Mahabbah IPIZ 3.0 platform perkukuh ukhuwah dan kerjasama

Berita dan gambar Azimah Ahmad

SINTOK, 9 Mac 2026: Program Tamkin Al-Mahabbah IPIZ 3.0 telah berlangsung pada 5 Mac lalu anjuran Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dengan matlamat mempererat hubungan silaturahim sesama warga kerja serta mewujudkan integrasi dan kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan jabatan yang beroperasi di bawah satu bumbung.

Program ini merupakan penganjuran tahun ketiga secara berterusan, sekali gus mencerminkan komitmen IPIZ dalam memupuk semangat kebersamaan serta mengukuhkan hubungan strategik antara warga kerja dan rakan kolaborasi.

Timbalan Pengarah IPIZ, Dr. Mohd Murshidi berkata, program ini diadakan untuk mengukuhkan silaturahim dan membina jaringan kerjasama yang lebih erat antara jabatan.

Menurutnya, penganjuran yang berterusan ini juga menunjukkan usaha IPIZ dalam menyemai nilai ukhuwah, kebersamaan dan semangat saling menyokong dalam suasana penuh keberkatan sempena bulan Ramadan.

“Program ini bukan sekadar gotong-royong bubur lambuk tetapi program ini juga merupakan medium untuk memperkukuhkan hubungan ukhuwah sesama kita,” katanya sambil menekankan bahawa usaha sebegini mampu melahirkan budaya kerja yang lebih harmoni dan produktif.

Sebagai simbolik kepada semangat kebersamaan dan ukhuwah, IPIZ telah mengagihkan bubur lambuk bersama Sambal Penyet Sintok kepada beberapa jabatan yang berada di Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menariknya, Sambal Penyet Sintok dipilih kerana ia merupakan produk keluaran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), UUM.

Inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan semangat silaturahim dalam kalangan warga kampus, malah turut menjadi tanda sokongan terhadap usaha mempromosikan produk inovasi yang dihasilkan oleh warga universiti.

Selain itu, penghasilan produk sambal ini turut melibatkan penyertaan komuniti asnaf di sekitar Changlun. Usaha ini secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan asnaf untuk menjana pendapatan serta memperkukuh pemerkasaan ekonomi mereka melalui penghasilan produk tempatan yang berkualiti.

Program Tamkin Al Mahabbah IPIZ 3.0 mencerminkan bahawa pengurusan organisasi bukan sekadar berfokus pada tugas harian, tetapi juga pada nilai kebersamaan, sokongan sosial dan pembangunan komuniti.

Dengan semangat Ramadan, program ini menyerlahkan komitmen IPIZ dalam membina ekosistem kerja yang harmoni, inklusif dan berorientasikan kesejahteraan masyarakat.

Secara keseluruhan, Tamkin Al Mahabbah IPIZ 3.0 bukan sekadar program pengagihan makanan, tetapi satu usaha bersepadu untuk menyatukan warga jabatan, menyokong produk UUM dan pembangunan komuniti asnaf, dan memperkukuhkan integrasi organisasi.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button