Campus

Program USR di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Tunku Puteri Intan Safinaz semai nilai keselamatan diri dan kreativiti anak-anak

Berita dan gambar oleh Anis Zulaikha binti Kamal

SINTOK, 15 Oktober 2025: Seramai 30 kanak-kanak dari Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) Tunku Puteri Intan Safinaz, Sintok telah menyertai Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan penglibatan staf serta pelajar praktikum.

Program ini bertujuan memupuk nilai keselamatan diri dan membina keyakinan kanak-kanak melalui aktiviti pembelajaran menyeronokkan yang berteraskan pendidikan awal kanak-kanak.

Antara pengisian utama program ialah persembahan lakonan bertajuk “Berhati-hati dengan Orang Tak Dikenali” yang disampaikan oleh pelajar praktikum PPKKG. Melalui lakonan ini, kanak-kanak didedahkan kepada situasi harian yang mungkin melibatkan ajakan atau pujukan daripada individu yang tidak dikenali.

Penceritaan yang ringan dan interaktif membantu mereka memahami konsep keselamatan diri dengan lebih mudah, termasuk cara berkata “tidak”, menjauhkan diri, dan memberitahu orang dewasa yang dipercayai apabila berdepan situasi mencurigakan.

Pendekatan bercerita dan bermain peranan ini terbukti berkesan dalam menyampaikan mesej keselamatan kepada kanak-kanak secara menyeronokkan tanpa menimbulkan ketakutan. Ia turut menanam nilai keberanian dan kepekaan terhadap persekitaran, sejajar dengan usaha memperkukuh kesedaran awal tentang keselamatan diri sejak usia muda.

Selain itu, turut diadakan sesi mewarna bertemakan haiwan yang menjadi antara aktiviti paling digemari kanak-kanak. Melalui aktiviti ini, mereka berpeluang mengekspresikan imaginasi dan emosi dengan menggunakan warna-warna ceria pada gambar haiwan yang comel.

Sesi ini bukan sahaja menyeronokkan, malah menjadi medium pembelajaran yang membantu meningkatkan daya fokus, ketelitian serta kreativiti kanak-kanak. Aktiviti tersebut turut dikendalikan dengan bimbingan pelajar praktikum yang memantau dan memberi galakan kepada setiap peserta sepanjang sesi berlangsung.

Program turut diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada kanak-kanak serta guru tadika sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan sokongan mereka sepanjang program dijalankan.

Menurut Nur Farah Johari, Pegawai Psikologi PPKKG, program ini memberi peluang kepada pelajar universiti untuk menerapkan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar serta memperkukuh kemahiran komunikasi dan interaksi dengan komuniti setempat. Inisiatif sebegini juga dilihat mampu mengukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat melalui pelaksanaan tanggungjawab sosial secara berterusan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button