Campus

Program UUM-KSU Summber Camp tutup tirai bersama pelajar Kyoto Sangyo University, Jepun

Gambar Adam Imran Shah Faisal

SINTOK, 12 Mac 2026: Majlis Penutup Program UUM–KSU Summer Camp 2026 bersama pelajar dari Kyoto Sangyo University (KSU) telah diadakan di Dewan Seri Angsana, EDC-UUM, baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Dekan Pusat Pengajian Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Kamarul Irwan Abdul Rahim, diikuti ucapan oleh Ketua Delegasi KSU, Yoshikawa Kotaro.

Dr. Mohamad Kamarul Irwan berkata, beliau berharap semua pelajar yang mengikuti program selama beberapa hari ini akan memanfaatkan pengalaman yang ada.

“Terima kasih kerana sudi hadir ke Sintok dan mengikuti pelbagai program yang dirancang,” katanya.

Majlis penutup tersebut telah dirasmikan oleh Konsul Jeneral Jepun, Shinya Machida yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Acara diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar KSU, fasilitator serta tenaga pengajar sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan penglibatan mereka sepanjang program berlangsung.

Majlis  diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan oleh pelajar KSU antaranya tarian Zapin, Cak Cak Cekuk, serta nyanyian lagu Jepun Tabidachi no Hi ni, yang mencerminkan perkongsian budaya antara Malaysia dan Jepun sepanjang program ini berlangsung.

Majlis penutup tersebut diakhiri dengan sesi berbuka puasa bersama, sekali gus menutup tirai program dalam suasana penuh kemesraan dan kenangan bermakna antara para pelajar, pensyarah dan pihak penganjur.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Dekan STML, Dr. Wadi Khalid Anuar, Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar, barisan tenaga pengajar daripada STML, IBS dan SLCP serta staf STML yang terlibat dalam penganjuran dan pelaksanaan program. –  Nurul Farhani Mohamad Khairi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button