SAC Mantapkan Pengurusan INASIS Melalui Langkah Strategik 2026
Gambar & Berita oleh Pusat Penginapan Pelajar (SAC)
SINTOK, 26 Januari 2026: Pusat Penginapan Pelajar (SAC) terus memperkukuhkan pengurusan dan pentadbiran antara kesemua enam belas (16) buah Inapan Siswa (INASIS) bagi memastikan kualiti perkhidmatan, keselamatan serta kebajikan para pelajar di INASIS berada pada tahap terbaik.
Bengkel yang dianjurkan ini bertujuan memastikan penyusunan tadbir urus yang lebih tersusun dan berkesan, seterusnya memberi manfaat berterusan kepada para pelajar dari semasa ke semasa.
Selain itu, usaha penjanaan pelbagai sumber hasil turut diterokai melalui perkhidmatan yang ditawarkan di INASIS. Antaranya ialah pewujudan bilik-bilik premium di INASIS Maybank, menurut Pengarah SAC, Ahmad Mujahid.

Beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan bilik-bilik premium ini pada peringkat awal telah menerima tentangan. Namun, peredaran masa menunjukkan keperluan terhadap kemudahan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar, khususnya pelajar antarabangsa, dengan kadar harga yang masih lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
Berikutan kejayaan pelaksanaan bilik-bilik premium ini, inisiatif tersebut akan diperluaskan ke INASIS-INASIS lain sebagai usaha menjana pendapatan SAC amnya dan universiti khususnya.

Dalam pada itu, Bengkel Pengesahan Pemakaian Dasar Polisi Penempatan dan Penginapan Pelajar di Inapan Siswa UUM telah disampaikan oleh Muhammad Hafizal Faiz Suhaime dari Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).
Bengkel ini turut dihadiri oleh semua Penolong Pengurus Asrama (PPA), Penolong Pegawai Tadbir (PPT) serta Pegawai Tadbir SAC, iaitu Encik Mohd. Sukri Othman dan Puan Siti Nadia Mohd. Nasir.
Kesemua warga kerja SAC bersedia melangkah sepanjang tahun ini dengan lebih bertenaga serta mengamalkan semangat kerja berpasukan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam perkhidmatan serta pengurusan di peringkat INASIS, selaras dengan amanah pihak universiti.
Seiring komitmen berterusan, pihak SAC akan sentiasa memastikan tahap serta kualiti perkhidmatan, keselamatan dan kebajikan para pelajar sentiasa diutamakan, sejajar dengan matlamat Universiti Utara Malaysia sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.



