Campus

Rezeki dikongsi, kasih disemai: SQS lancar program free food dan gerobok rezeki

Gambar oleh Zamalik Hassan

SINTOK, 15 Oktober 2025: Semangat prihatin dan kebersamaan terus disemai dalam kalangan warga Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui pelancaran dua inisiatif kebajikan pelajar iaitu Free Food dan Gerobok Rezeki SQS. Majlis pelancaran yang berlangsung di Student Lounge SQS ini telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) SQS, Dr. Sahubar Ali Mohamed Nadhar Khan.

Program ini merupakan salah satu usaha SQS dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar terus terpelihara, khususnya bagi mereka yang berdepan kekangan kewangan. Inisiatif Free Food menyediakan makanan berat secara percuma setiap minggu, dengan pelaksanaannya dijalankan secara bergilir antara hari Isnin atau Rabu bagi memastikan pengagihan makanan kepada pelajar berjalan dengan lancar dan berterusan sepanjang semester.

Sementara itu, Gerobok Rezeki SQS pula menyediakan pelbagai makanan kering seperti biskut, roti dan minuman bagi membantu pelajar yang memerlukan. Pelajar boleh mengambil barangan makanan tersebut sekadar keperluan sambil berehat dan mengulangkaji pelajaran di Student Lounge.

Pelaksanaan kedua-dua inisiatif ini mendapat suntikan dana daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Sumbangan ini membantu memastikan program kebajikan tersebut dapat dilaksanakan secara konsisten dan memberi impak tinggi kepada pelajar.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Sahubar Ali Mohamed Nadhar Khan menzahirkan penghargaan kepada TNB atas sumbangan serta komitmen mereka terhadap kebajikan pelajar. Beliau turut menasihati para pelajar agar menghargai bantuan yang diberikan serta meneruskan semangat saling membantu dalam komuniti universiti.

Beliau juga berpesan supaya pelajar mengambil makanan daripada Gerobok Rezeki secara berhemah agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai pelajar lain.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh pensyarah dan pelajar SQS yang bersama-sama menyokong usaha murni tersebut. Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebajikan dan sokongan komuniti yang akan digerakkan oleh SQS dari semasa ke semasa. – Dr. Nor Hasliza Mat Desa

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button