Campus

Roadshow Pra-U UUM Bawa Inspirasi, Ilmu dan Semangat Kepimpinan Terus ke Pintu Sekolah

Berita dan gambar oleh Norzilah Hj Aziz

MELAKA, 25 Februari 2026: Kelab Patriot Chapter Melaka, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Program Pra-U UUM Roadshow: Kepimpinan Strategik & Halatuju Menara Gading di SMK Sultan Alauddin, Masjid Tanah, Melaka pada hari ini.

Seramai 57 orang pelajar Tingkatan 6 sekolah tersebut hadir bagi mengikuti program yang berlangsung dari pukul 11.00 pagi hingga 2.30 petang.

Program ini dirancang dan dilaksanakan oleh Kelab Patriot Chapter Melaka UUM dengan kerjasama SMK Sultan Alauddin, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial pelajar universiti dalam membantu mendidik dan memotivasikan generasi pelajar di negeri Melaka.

Inisiatif ini selari dengan semangat kesukarelaan dan khidmat masyarakat yang menjadi teras penubuhan kelab tersebut.

Program itu dimulakan dengan slot ceramah motivasi oleh Puan Norzilah Hj Aziz, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM, yang turut merupakan Penasihat Kelab Patriot Chapter Melaka.

Beliau yang merupakan alumni pelajar SMK Sultan Alauddin, berkongsi kisah perjalanan hidupnya dari bangku sekolah di Masjid Tanah hinggalah berjaya menjadi seorang tenaga akademik di universiti terkemuka negara.

Sesi diteruskan dengan slot perkongsian oleh Presiden Kelab Patriot Chapter Melaka, UUM, Nornafisah Juri, yang membentangkan secara terperinci pelbagai peluang pengajian yang tersedia di UUM. Para pelajar diperkenalkan dengan program-program akademik yang ditawarkan, laluan kemasukan, serta syarat kelayakan yang perlu dipenuhi.

Selain itu, Nornafisah turut mengupas kemudahan-kemudahan lengkap yang disediakan di kampus UUM termasuk kemudahan penginapan, perpustakaan bertaraf tinggi, pusat sukan dan rekreasi, kemudahan kesihatan, serta pelbagai aktiviti ko-kurikulum yang memperkaya pengalaman pelajar universiti.

Antara slot yang paling dinantikan oleh para pelajar ialah sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang mempertemukan mereka secara langsung dengan fasilitator-fasilitator terpilih dalam kalangan anak-anak Melaka yang belajar di UUM. Melalui aktiviti berkumpulan yang interaktif dan menyeronokkan, pelajar Tingkatan 6 berpeluang berbincang, bertanya soal dan menimba pengalaman sebenar kehidupan di universiti.

Sesi ini berjaya mewujudkan suasana mesra dan terbuka antara pelajar sekolah dengan pelajar universiti, sekali gus menghakis rasa cemas dan keraguan yang sering dirasai oleh pelajar yang bakal melangkah ke alam pengajian tinggi.

Program Pra-U UUM Roadshow: Kepimpinan Strategik & Halatuju Menara Gading ini merupakan manifestasi komitmen Kelab Patriot Chapter Melaka UUM dalam memberi khidmat kepada masyarakat, khususnya dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar Melaka yang berani bermimpi dan bertindak untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti.

Pihak sekolah menyifatkan program seumpama ini amat diperlukan dan berharap agar kerjasama antara sekolah dan kelab pelajar universiti dapat diteruskan pada masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button