Campus

Sambutan Bulan Akademia membina ADIGURU SOE

Gambar Mohamad Haffiq Jeffry dan Nurul Ahkilah Azwar

SINTOK: Bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan pensyarah dalam bindag pendidikan, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah mengadakan sambutan Bulan Akademia dan Program ADIGURU SOE dengan penglibatan pensyarah dan pelajar di Dewan Seminar CAS, baru-baru ini.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Mardzelah Makhsin berkata, dengan tema “Transformasi Akademia dengan AI: Masyarakat Madani Berinovasi,” sambutan ini bertujuan untuk menginspirasi inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran, serta mengajak semua pihak untuk bersama-sama memajukan pendidikan demi masa depan yang lebih cerah.

Program ADIGURU SOE pula bertujuan untuk membina karakter guru dalam kalangan pelajar melalui pelbagai inisiatif yang dirancang. Pelancaran program mentor-mentee menyediakan platform bagi pelajar untuk mendapatkan bimbingan dan sokongan daripada pensyarah, sementara kebab inovasi menggalakkan idea-idea kreatif dalam pengajaran.

Kebab kesukarelawan memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, membentuk empati dan tanggungjawab sosial. Selain itu, kebab keusahawanan merangsang semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar, kebab bahasa memperkukuh kemahiran komunikasi, dan kebab seni kreatif mendorong ekspresi diri melalui seni.

Kesemua program ini bertujuan untuk membentuk pelajar yang holistik dan berdaya saing dalam dunia pendidikan.

Program ADIGURU SOE memperkenalkan pelajar baharu kepada budaya kampus dan kemudahan yang ditawarkan, malah memberi mereka ruang untuk berinteraksi dengan rakan sebaya bagi membina hubungan sosial yang mampu menyokong pembelajaran mereka sepanjang tempoh pengajian di SoE.

Program ini turut menampilkan tayangan video bertajuk “Kisah Nak Jadi Cikgu”, sebuah karya kreatif oleh Muhammad Nurhaqimie Halim yang memenangi anugerah video terbaik dalam Karnival Guru Madani (KAGUM) yang diadakan sempena Hari Guru lalu. Tayangan video ini memberi inspirasi kepada para pelajar tentang perjalanan seorang guru.

Slot Alumni diteruskan dengan perkongsian Muhammad Affizan Safiee dengan motivasi untuk kecemerlangan potensi mahasiswa secara optimum. Selain itu, Dr. Mohd Zailani Ismail juga menyampaikan slot perkongsian bertajuk ‘Kemenjadian Mahasiswa Holistik’ yang memberi panduan tentang bagaimana pelajar dapat menjadi individu yang holistik dalam pelajaran dan kehidupan.

Majlis dirasmikan oleh Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman di mana beliau menekankan pentingnya menghargai jasa pensyarah yang merupakan tulang belakang dalam pendidikan, memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan.

Beliau turut menyeru kepada semua pelajar untuk menghargai setiap usaha pensyarah yang telah berkorban waktu dan tenaga dalam mendidik mereka demi memastikan pensyarah merasa dihargai atas dedikasi dan komitmen mereka dalam proses pembelajaran. – Nur Fitri Allyana Zamzuri 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button