SBM UUM perkukuh pembelajaran berimpak tinggi melalui The 4th SULAM competition & exhibition
Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 6 Januari 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan The 4th SBM SULAM Competition & Exhibition bagi kursus Service-Learning Malaysia University for Society (SULAM) yang berlangsung di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM, hari ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad.

Program ini bertujuan mempamerkan hasil pelaksanaan kursus SULAM yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti, selaras dengan usaha universiti memperkukuh pelaksanaan pembelajaran berimpak tinggi dalam kalangan mahasiswa.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan program SULAM pada hari ini melibatkan seramai 345 orang pelajar daripada kursus Sistem Maklumat Pengurusan dan Komunikasi Pemasaran Bersepadu, yang berorientasikan pembelajaran berasaskan khidmat komuniti serta sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berdaya saing.

“Penganjuran pameran dan jualan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam bilik kuliah ke dalam situasi sebenar, khususnya dalam aspek pengurusan maklumat, pemasaran, komunikasi strategik dan pembangunan komuniti,” katanya.
Pada masa yang sama, program ini turut membuka ruang kepada komuniti terlibat untuk mempamerkan serta memasarkan produk pertanian dan kraftangan secara lebih meluas.

Penglibatan komuniti pengusaha nanas dan kraftangan Malaysia dalam program ini dilihat amat signifikan kerana ia membolehkan pelajar memahami ekosistem sebenar keusahawanan agro dan ekonomi kreatif, di samping menyumbang idea, inovasi serta sokongan kepada pembangunan komuniti setempat.
Selain itu, kerjasama strategik antara SBM dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang terjalin sejak Januari 2025 telah menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan inisiatif SULAM secara berterusan dan berimpak.
Hasil dari kerjasama ini turut membolehkan SBM meraih beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan.
Antaranya penyertaan sebagai Finalis SULAM Innovate ke-3 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kejayaan memperoleh tempat ketiga bagi kategori Sains Sosial, selain menerima Anugerah Best SULAM Project sempena SULAM Carnival yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pencapaian tersebut dicapai menerusi pelaksanaan projek “Pengurusan AgroPine dalam Pembangunan Aplikasi” yang menggabungkan elemen inovasi, teknologi dan keperluan sebenar komuniti pengusaha nanas, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan SULAM yang dirancang secara strategik.
Pihak SBM turut merakamkan penghargaan kepada Prof. Madya Dr. Zailani dan Centre for Academic Excellence and Pedagogy (CAEP) atas sokongan dan bimbingan berterusan kepada pensyarah dan pelajar, di samping mengiktiraf komitmen tinggi para pensyarah serta mahasiswa dalam menjayakan program ini.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada pensyarah dan pelajar yang memenangi pertandingan serta terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program SULAM.
Turut hadir memeriahkan majlis Izwan Kasin, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Cawangan Kedah/Perlis; rakan industri dan rakan komuniti; barisan sekretariat; serta para pensyarah dan mahasiswa serta mahasiswi Universiti Utara Malaysia.
– Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelajar Praktikum)



