Campus

Scammer, Akaun Tumpang dan Isu Semasa kupas isu semasa dalam dunia perbankan di Malaysia

Berita dan gambar Dr. Rukhaiyah Abd Wahab

SINTOK, 11 November 2025: Unit Pengajian Islam dan Falsafah (UPIF), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Bicara Bersama Bank Rakyat yang bertajuk Scammer, Akaun Tumpang dan Isu Semasa.

Ceramah telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Rakyat Xcess Bank Rakyat, Khidzrul Nizam Mohd Khidir secara bersemuka pada 4 November lalu di DKG 1/1.

Seramai 120 pelajar dari Kursus Falsafah dan Isu Semasa (MPU 1012) dan pelajar berpeluang mendengar perbincangan ilmu dan perkongsian dari pihak industri.

Khidzrul Nizam telah mengupas pelbagai isu semasa berkaitan perbankan dan kewangan yang berlaku di Malaysia.

“Lebih merisaukan lagi apabila pelajar IPT telah menjadi sasaran scammers terutamanya bagi kegiatan akaun tumpang.

“Oleh itu, telah menjadi tanggungjawab pihak Bank Rakyat untuk memberi kesedaran kepada warga UUM agar lebih cakna dan waspada dengan permasalahan yang berlaku,” katanya.

Selain itu, Khidzrul Nizam juga telah mendedahkan kelicikan aktiviti scammer yang sangat membimbangkan.

Peserta juga telah diberi tips tentang bagaimana untuk menangani scammer, isu akaun tumpang dan pelbagai isu yang berkaitan dengan kewangan dan perbankan.

Lebih menarik lagi apabila penceramah telah mempekenalkan beberapa produk bank yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar UUM seperti biasiswa, pembiayaan, akaun simpanan, cabutan dan banyak lagi.

Pelajar, Lo’lo’ Salsabyla Sunan berkata, pembelajaran secara teori terutamanya bab Epistemologi dan Falsafah Teknologi di dalam kelas dapat diperkukuhkan lagi dengan perkongsian ilmu, pengalaman realiti daripada Bank Rakyat.

Penyelaras Kursus Mata Pelajaran Umum (MPU), Dr. Azman Md. Zain berkata, melalui program ini diharap pelajar dapat mengaitkan teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah dengan realiti dunia kini dan berharap akan ada lagi kerjasama antara industri dan akademik di masa hadapan.

Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada kerjasama antara universiti dan pihak industri.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button