Campus

“Serlah potensi, Bina identiti”

Gambar oleh Pusat Kokurikulum

Pulau Bidan, Yan, Kedah, 16-18 Oktober 2025: Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melahirkan pelajar yang holistik, berdaya saing dan berjiwa lestari melalui penganjuran Program Kelestarian Potensi Holistik Kokurikulum 2025 bertemakan “Serlah Potensi, Bina Identiti” yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Oktober 2025.

Program yang menghimpunkan seramai 39 orang pelajar bersama 9 orang staf Pusat Kokurikulum, turut disertai oleh Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad dan Timbalan Pengarah (Aktiviti), dalam usaha memperkukuh hubungan antara pelajar dan staf serta mengembangkan potensi holistik pelajar UUM.

Menurut Dr. Za’im Ahmad, program ini bukan sekadar aktiviti rekreasi semata-mata, tetapi merupakan wadah pembangunan sahsiah dan kelestarian diri yang menyeluruh.

“Program seperti ini memberi ruang kepada pelajar untuk membina kepimpinan, jati diri, dan semangat kerja berpasukan melalui aktiviti yang menekankan nilai tanggungjawab sosial, kelestarian alam sekitar, dan keseimbangan diri,” ujar beliau.

Program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara pelajar dan staf, di samping membentuk pelajar holistik yang seimbang dari aspek akademik, kokurikulum, kepimpinan dan kemahiran insaniah. Ia turut memberi penekanan terhadap matlamat pembangunan mampan (SDG) dengan fokus kepada pendidikan berkualiti, kelestarian alam sekitar, dan semangat kerjasama.

Sepanjang program, para peserta turut didedahkan kepada aktiviti survival di pulau terpencil, termasuk kemahiran asas perhutanan, teknik menangkap hasil laut, serta pengenalan kepada sumber makanan semula jadi.

Aktiviti ini dijalankan dengan bimbingan malim gunung berpengalaman, yang berkongsi ilmu tentang keselamatan, pengurusan risiko dan pemuliharaan alam semula jadi.

Selain itu, program turut disemarakkan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pulau, sejajar dengan nilai ESG (Environmental, Social & Governance) dan inisiatif Go-Green universiti.

Aktiviti ini bertujuan memupuk rasa tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar serta menanam kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kepentingan pemuliharaan ekosistem semula jadi.

Program ini juga menonjolkan elemen pelajar holistik, di mana peserta bukan sahaja diuji dari segi fizikal dan mental, tetapi turut diasah dari sudut kepimpinan, kolaborasi dan empati terhadap masyarakat serta alam sekitar.

Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang program ini mendapat pujian daripada pihak penganjur. Dr. Za’im Ahmad menyatakan rasa bangga terhadap semangat dan disiplin tinggi yang ditunjukkan pelajar sepanjang tiga hari di Pulau Bidan.

“Pelajar telah membuktikan bahawa mereka mampu menjadi individu yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mempunyai keupayaan kepimpinan, nilai kemanusiaan dan kesedaran kelestarian yang tinggi. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” tambah beliau.

Program ini berakhir dengan sesi refleksi dan perkongsian pengalaman, di mana para peserta menzahirkan rasa syukur dan bangga dapat menyertai program yang bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama peserta, tetapi turut memberi kesedaran mendalam terhadap tanggungjawab sebagai pelajar dan warga universiti yang lestari. – Nur Khairiel Anuar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button