Sesi perkongsian ilmu perkasa pelajar BLIT dengan pengetahuan NLP
Gambar Khairunnisa Ab Rahman
SINTOK, 9 Mac 2025: Persatuan Linguistscape, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan sesi Perkongsian Ilmu: Projek Tahun Akhir Berkaitan Pemprosesan Bahasa Tabii (NLP) secara dalam talian.
Sesi ini menampilkan dua orang penceramah jemputan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), iaitu Dr. Mohd Yunus Sharum yang membincangkan keselamatan maklumat dan analisis dan pemodelan dalam linguistik perkomputeran, dan Prof. Madya Dr. Azreen Azman yang menekankan peranan NLP dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan dan pemprosesan maklumat automatik.
Sesi interaktif ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami teknik analisis data, pemilihan model NLP, dan integrasi teknologi dalam pelbagai bidang.
Penasihat Persatuan Linguistscape, Dr. Mohamad Zakuan Tuan Ibharim berkata, program seperti ini sangat bermanfaat kepada pelajar pelajar Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT) mengenai kepentingan NLP dalam penyelidikan.
“Program ini mencerminkan komitmen Persatuan Linguistscape dalam memperkasakan pelajar BLIT dengan pengetahuan relevan serta membina keyakinan dalam menerapkan teknologi NLP dalam projek tahun akhir mereka,” katanya. – Nurfatin Aleysyah Abdul Razly