SOC terima lawatan delegasi TerSU, Uzbekistan
Gambar Nurul Athirah Mohamad Zayuky
SINTOK, 11 Mac 2026: Hubungan akademik antarabangsa terus diperkukuhkan apabila Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi lokasi pertemuan penting antara wakil akademik dari Malaysia dan Uzbekistan melalui lawatan rasmi delegasi Termez State University (TerSU) semalam bagi membincangkan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.

Delegasi tersebut diketuai oleh Naib Rektor Hal Ehwal Antarabangsa TerSU, Gafur Togaev bersama Naib Rektor Hal Ehwal Ekonomi dan Kewangan, Khursandov Nurullo dan Pengurus Pejabat Hubungan Antarabangsa, Yodgorov Shamsiddin Abduraimovich bersama tiga pelajar mobiliti dari universiti berkenaan.
Ketibaan delegasi di SOC telah disambut oleh pihak pengurusan pusat pengajian sebelum sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali.
Dr. Osman berkata, lawatan ini memberi peluang kepada kedua-dua institusi untuk bertukar pandangan serta memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam bidang pengkomputeran dan teknologi maklumat.

Antara agenda utama lawatan ini ialah perbincangan berkaitan cadangan penubuhan UUM–TerSU Learning Centre yang bertujuan memperluaskan kerjasama akademik, perkongsian kepakaran serta pembangunan program mobiliti pelajar dan staf antara kedua-dua universiti. Sesi perbincangan akademik ini telah diselaraskan di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz.
Lawatan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama strategik antara UUM dan TerSU khususnya dalam memperkukuhkan kerjasama akademik, penyelidikan serta pembangunan bakat dalam bidang pengkomputeran di peringkat antarabangsa. – Nurul Azalia Razak



