SoG anjur majlis sanjungan budi, penyerahan nota serah tugas dan iftar ramadan 2026
Gambar oleh Mohd Mahadi Mohd Razani
SINTOK, 8 Mac 2026: Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Universiti Utara Malaysia menganjurkan Majlis Sanjungan Budi, Penyerahan Nota Serah Tugas dan Iftar Ramadan 2026 yang berlangsung di EDC-UUM sebagai platform menghargai jasa dan sumbangan warga pusat pengajian itu serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan staf sempena bulan Ramadan.

Majlis tersebut dihadiri oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf serta barisan staf akademik dan pentadbiran SoG.
Program dimulakan dengan Tazkirah Ramadan 1447H bertajuk “Ramadan Madrasah Integriti: Membina Amanah Dalam Tadbir Urus” yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri.
Tazkirah tersebut menekankan kepentingan nilai integriti, amanah serta tadbir urus beretika dalam memperkukuh budaya kerja yang cemerlang.

Majlis turut diraikan menerusi Majlis Sanjungan Budi sebagai tanda penghargaan kepada Prof. TPr. Dr. Dani Salleh atas segala jasa, sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan di Pusat Pengajian Kerajaan.
Selain itu, majlis turut menyaksikan Penyerahan Nota Serah Tugas SoG yang melibatkan mantan Dekan SoG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid kepada Dekan SoG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf yang disaksikan oleh Naib Canselor UUM.

Pada majlis yang sama, Naib Canselor UUM turut menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada barisan penjawat sesi 2024/2025 serta penceramah jemputan sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada pusat pengajian tersebut.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa dan iftar Ramadan yang menjadi simbolik kepada semangat kebersamaan dan penghargaan dalam kalangan warga Pusat Pengajian Kerajaan. – Dharyaiti Abu Bakar



