SOIS UUM Perkasa Jaringan Akademik bersama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM
Gambar oleh: Hazree
PULAU PINANG, 29 Januari 2026: Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan lawatan penanda aras dan perbincangan strategik ke Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Lawatan ini bertujuan memperkukuh kerjasama institusi, mempelajari amalan terbaik serta mempertingkatkan kualiti program akademik dan tadbir urus pusat pengajian.
Dalam usaha memantapkan mutu pengajaran dan perkhidmatan, SoIS menekankan bukan sahaja peningkatan kandungan akademik tetapi juga pembaikan tadbir urus pusat pengajian. Inisiatif lawatan penanda aras dan perbincangan strategik ini dilihat sebagai langkah proaktif SoIS untuk berkongsi serta mengetahui amalan terbaik (best practices) dalam aspek pengurusan pengajian tinggi, pembangunan kurikulum serta pengukuhan jaringan penyelidikan di kalangan institusi pengajian tinggi awam.

Sesi perbincangan strategik antara kedua-dua pihak merangkumi potensi kerjasama dalam penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi, inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), promosi program pascasiswazah, program mobiliti dalam dan luar negara serta pemerkasaan alumni. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada peranan universiti dalam mempertingkat hubungan universiti–industri dan peluang penyediaan dana bagi menyokong program akademik dan bukan akademik serta pelaksanaan latihan berfokus, khususnya inisiatif latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) bagi memenuhi keperluan pembangunan modal insan dalam era kini.

Delegasi SoIS diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nazariah Osman, Dekan SoIS serta Penjawat Utama SoIS, termasuk Pengarah Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Ketua Pengarang Jurnal UUM COLGIS, Pengarah UUM Research Institute for Indonesia, Thailand and Singapore (UUM-ITS) serta barisan staf pentadbiran SoIS.
Manakala dari pihak PPSK USM, sesi diterajui oleh Dekan PPSK, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Bin Samsurijan, disertai Timbalan-timbalan Dekan, Ketua Jawatankuasa Pusat Pengajian serta pegawai pentadbiran.

Dalam ucapan aluan yang disampaikan oleh Dekan PPSK USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Bin Samsurijan, beliau menyatakan penghargaan dan keyakinan terhadap manfaat lawatan tersebut:
“Keprihatinan SoIS memilih PPSK sebagai destinasi lawatan penanda aras amat kami hargai. Kami yakin perbincangan dua hala ini akan membuka ruang lebih luas untuk perkongsian ilmu dan penyelidikan, serta memberi impak positif kepada pengembangan kerjasama antara PPSK dan SoIS UUM yang telah terjalin sekian lama.
PPSK USM dikenali sebagai salah satu pusat pengajian sains sosial yang dinamik di Malaysia dengan rekod penerbitan yang cemerlang dan kepakaran dalam pengurusan program rentas disiplin — selari dengan hala tuju SoIS yang memberi fokus kepada hubungan antarabangsa, pengajian sains politik dan kelestarian global. Kedua-dua pihak berharap hasil perbincangan ini akan diterjemahkan ke dalam pelan tindakan konkrit termasuk program penyelidikan bersama, mobiliti pelajar dan staf serta inisiatif latihan bagi memantapkan kapasiti akademik dan pengurusan pusat pengajian.
Lawatan diakhiri dengan sesi lawatan fasiliti PPSK serta pertukaran cenderamata sebagai simbolik kepada jalinan kerjasama yang diteruskan antara kedua-dua institusi. – Rosmiza Ahmad



