SoL perkasa agenda penyelidikan melalui Bengkel Penyelidikan Akademik
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd Anuar
SINTOK, 15 Mac 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu Bengkel Penyelidikan pada 12 Mac lalu yang melibatkan penyertaan pensyarah undang-undang bagi memperkukuhkan budaya penyelidikan dalam kalangan ahli akademik.
Dekan SoL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, bengkel ini diadakan sebagai salah satu inisiatif berterusan SoL dalam meningkatkan kualiti penyelidikan serta menggalakkan penghasilan karya ilmiah yang berimpak tinggi.
Menurutnya, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pensyarah tentang perkembangan terkini dalam ekosistem penyelidikan, di samping membincangkan hala tuju serta strategi penyelidikan yang lebih tersusun dan berfokus.

Katanya, melalui bengkel ini, peserta berpeluang berkongsi pandangan, pengalaman serta idea penyelidikan yang berpotensi untuk dikembangkan dalam bidang perundangan dan bidang berkaitan.
Dalam sesi perbincangan tersebut, peserta turut meneliti peluang geran penyelidikan baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Geran Eksplorasi dan Transformatif (GET).
Geran ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam menyokong penyelidikan yang bersifat inovatif, eksploratif serta mampu memberikan impak signifikan kepada pembangunan ilmu dan masyarakat selain membuka ruang kepada penyelidik untuk meneroka idea baharu serta menghasilkan penyelidikan yang bersifat transformatif dalam pelbagai bidang.

Bengkel ini turut menjadi platform bagi pensyarah untuk mengenal pasti bidang tumpuan penyelidikan strategik yang sejajar dengan keperluan semasa negara dan universiti. Perbincangan yang berlangsung secara interaktif telah membantu peserta merangka cadangan penyelidikan yang lebih berkualiti, berdaya saing serta berpotensi untuk memperoleh pembiayaan geran penyelidikan pada masa hadapan.
Selain itu, bengkel berkenaan juga berperanan dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama antara pensyarah melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi. Kerjasama ini diharapkan dapat melahirkan lebih banyak projek penyelidikan secara kolaboratif yang mampu menyumbang kepada pembangunan ilmu perundangan serta meningkatkan reputasi akademik SoL di peringkat nasional dan antarabangsa.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan budaya penyelidikan dalam kalangan warga akademik sentiasa diperkukuh dan diperkembangkan.



