SOL rai kejayaan enam graduan cemerlang BPLB
Berita dan gambar Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman
SINTOK, 25 November 2025: Enam graduan dari Program Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB), Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) bukan sahaja bergraduasi sebagai graduan Kelas Pertama malah bertambah indah apabila masing-masing terpilih menerima pelbagai anugerah berprestij sempena Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM yang lalu.
Kejayaan mereka mencerminkan keutuhan falsafah pendidikan UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berdaya kepimpinan, berintegriti serta mempunyai keupayaan tinggi dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan, kepimpinan pelajar dan tanggungjawab sosial.

Mohammad Noor Aiman: Lambang Kepimpinan dan Keteguhan Jiwa
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Mohammad Noor Aiman Hassan Nudin dari Tawau, Sabah, menyerlah sebagai graduan serba lengkap dengan kecemerlangan akademik dan rekod kepimpinan yang mengagumkan. Kini berkhidmat di UEM Group Berhad sebagai Eksekutif Tadbir Urus dan Integriti, beliau menganggap kejayaan ini sebagai manifestasi nilai yang diterapkan sepanjang pengajian di UUM.
“Saya percaya bahawa kepimpinan bukan soal kedudukan tetapi tanggungjawab untuk memberi inspirasi dan membawa perubahan,” katanya.
Sepanjang di universiti, Aiman aktif sebagai Presiden Kelab Pengucapan Awam UUM, Sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar dan Pengarah Pertandingan Debat Pengurusan Peringkat Kebangsaan Edisi 2024. Beliau turut menjuarai Debat Koperasi IPT Piala Menteri KUSKOP 2023, merangkul Anugerah Tokoh Siswa UUM, menjadi Pembentang Terbaik di Global Student Leadership Summit 2024, Istanbul, Turki serta mewakili Malaysia dalam ASEAN University Network – Student Affairs Network (AUN–SAN) 2024.

Niroshini: Kejayaan Berpaksikan Usaha dan Nilai Diri
Penerima Pingat Emas Naib Canselor, Niroshini A/P Sundapi @ Sundaram, membuktikan keupayaan luar biasa dalam menyeimbangkan tanggungjawab akademik dan perniagaan.
Beliau memulakan perniagaan penghantaran makanan di kampus sebagai usaha berdikari tanpa membebankan keluarga.
“Saya belajar bahawa setiap rezeki datang dengan usaha dan disiplin. Berniaga semasa belajar mengajar saya menghargai nilai titik peluh sendiri,” katanya yang menamatkan pengajian dengan CGPA 3.86.
Selain cemerlang dalam akademik, Niroshini juga aktif dalam kepimpinan pelajar sebagai ahli Jawatankuasa Kebajikan Pelajar Inasis (JKPS) dan dikenali sebagai pelajar berdikari yang mengurus perniagaan selama lebih dua tahun tanpa menjejaskan prestasi pengajiannya. Pengalaman tersebut telah membentuk dirinya sebagai graduan yang matang, berdisiplin dan berjiwa sosial tinggi.

Farah Jazlina: Usahawan Muda Cemerlang
Dari Pontian, Johor, Farah Jazlina Mohd Haidel dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keusahawanan atas kejayaan mengurus perniagaan F&B “Campus Brew UUM” dengan pendapatan bulanan lima angka. Kejayaan ini menonjolkan keupayaannya menggabungkan semangat keusahawanan dan daya inovasi sebagai pelajar.
“Saya mahu buktikan bahawa mahasiswa juga mampu berdikari dan berinovasi. Setiap kegagalan saya jadikan bahan bakar untuk terus mencuba,” katanya penuh semangat.
Farah Jazlina pernah menjadi Pengurus Campus Brew UUM, menubuhkan Campus Go UUM dan memenangi pingat emas di World Innompic Games di India ketika di peringkat diploma.
Beliau juga merupakan finalis Anugerah Tokoh Siswa UUM (Kategori Pasukan) 2024 dan aktif dalam pelbagai program keusahawanan anjuran Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dan Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) UUM. Kejayaannya menunjukkan kesungguhan luar biasa dalam membina jenama sendiri dan mengharumkan nama universiti di peringkat antarabangsa.

Lyana: Ilmu dan Kepimpinan Seiring
Penerima Anugerah Kecemerlangan Buku Tun Azmi, Lyana Jamaluddin, menganggap kejayaan akademiknya sebagai hasil bimbingan pensyarah dan sokongan rakan seperjuangan.
Beliau turut memegang pelbagai peranan kepimpinan termasuk sebagai Presiden Persatuan BPLB (Thinkers) UUM.
“Kepimpinan dan ilmu perlu berjalan seiring, menjadi pelajar bukan hanya tentang membaca buku tetapi memahami dunia,” katanya.
Lyana pernah menjadi Setiausaha Pentadbiran United Student Society UiTM dan menjawat beberapa portfolio penting di Thinkers termasuk sebagai Presiden serta Exco Keusahawanan, Alumni dan Perhubungan Luar.
Beliau juga terpilih menjalani Thinker’s Project iaitu latihan industri di Orsted Services Malaysia, sebuah syarikat multi nasional yang berpengkalan di Gentofte, Denmark.

Afrina: Kejayaan yang Dikongsi Bersama Keluarga
Kejayaan Afrina, penerima Anugerah Persatuan Alumni UUM juga bukti bahawa kecemerlangan akademik, ko-kurikulum, sahsiah diri dan kepimpinan adalah saling berkait satu sama lain.
Kejayaan yang diraikan menjadi lebih bermakna apabila beliau bergraduasi bersama adiknya yang turut menerima anugerah pada majlis yang sama.
“Bagi saya, setiap kejayaan ialah doa yang dimakbulkan. Ia bukan hanya milik saya, tetapi milik keluarga dan semua yang percaya dengan perjalanan ini,” katanya penuh rasa syukur.
Afrina yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang, membuktikan kecemerlangan akademik dan sahsiah sejak di peringkat politeknik apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum serta Biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi – YBM Pelajar Cemerlang Politeknik. Beliau juga dikenali sebagai pelajar yang aktif dan berdisiplin tinggi, menjadikan kejayaannya sebagai simbol kesungguhan dan keutuhan semangat keluarga.
Syifa Izzati: Cemerlang di Pentas Antarabangsa

Penerima Anugerah Emas Co-opbank Pertama (CBP), Nur Syifa Izzati Muhamad Zuki, menyerlah bukan sahaja dalam akademik dengan pencapaian cemerlang setiap semester, tetapi juga di peringkat antarabangsa apabila mewakili UUM ke Regional Student Leadership Summit (RSLS) 2023 di Universitas Negeri Padang, Indonesia.
“Kejayaan ini bukti bahawa keseimbangan antara akademik dan aktiviti pelajar mampu membentuk keperibadian yang matang dan berdaya saing,” katanya yang menamatkan pengajian dengan CGPA 3.88.
Syifa Izzati pernah memperoleh CGPA 4.00 di Pusat Asasi Pengurusan UUM, aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Thinkers serta pernah menjadi delegasi Program Mobiliti Pelajar ke Universitas Muhammadiyah Indonesia.
Beliau turut menerima pengiktirafan sebagai Penyampai Terbaik RSLS 2023 yang mencerminkan keupayaan beliau sebagai pemimpin pelajar yang yakin dan berwibawa.

Kejayaan keenam graduan ini menjadi bukti kukuh terhadap keupayaan UUM dalam melahirkan pelajar berpotensi tinggi dan berdaya saing global.
Program BPLB, yang menggabungkan elemen falsafah, undang-undang dan perniagaan terus melahirkan graduan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial serta mampu menjadi pemimpin dalam pelbagai sektor. Selain itu, kejayaan yang tercipta pada hari ini juga adalah berkat tunjuk ajar para pensyarah dari pelbagai pusat pengajian yang meliputi tiga kolej utama iaitu UUM COLGIS, UUM COB dan UUM CAS.
Tuntasnya, kejayaan ini mencerminkan keberkesanan pendekatan pembelajaran yang menekankan pemikiran kritikal, nilai etika dan tanggungjawab sosial.
Graduan BPLB kini diiktiraf bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa, selaras dengan aspirasi UUM untuk menjadi universiti pengurusan terkemuka.



