Sorakan, irama & gerak Seni di MASENI UUM 2025 tutup tirai MSK dengan penuh gema
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 26 September 2025: Dewan Mu’adzam Shah Universiti Utara Malaysia (UUM) bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh apabila lebih 5,000 mahasiswa baharu mempamerkan bakat serta kreativiti mereka dalam Malam Apresiasi Seni (MASENI) 2025, acara kemuncak Minggu Suai Kenal (MSK) ambilan September A251.
Acara penuh warna-warni ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM sebagai platform untuk mahasiswa baharu menonjolkan potensi dalam bidang seni persembahan, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap budaya kampus.
Turut memeriahkan majlis ialah Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad bin Sakdan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohamad Amar Aidid Mohd Zain serta Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) termasuk Pengetua-pengetua Inapan Siswa (INASIS). Kehadiran barisan VVIP ini menambahkan seri dan kemeriahan malam yang penuh dengan kreativiti mahasiswa.
Malam yang bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan lagu korporat UUM Biru Warna itu terus diserikan dengan persembahan menarik daripada setiap INASIS. Pelbagai segmen persembahan termasuk tarian tradisional, nyanyian, teater pendek, persembahan muzik moden serta persembahan pelajar antarabangsa telah memikat perhatian para penonton.
Selain persembahan, majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada kumpulan yang menonjol dari segi kreativiti, integriti dan persembahan paling mantap. Ia menjadi detik bersejarah buat mahasiswa baharu yang buat pertama kali melibatkan diri dalam pertandingan seni di peringkat universiti.
Suasana penuh kemeriahan dan semangat kekitaan jelas tergambar apabila seluruh dewan bergema dengan sorakan penyokong dari setiap INASIS yang tidak putus-putus memberi semangat kepada rakan sepasukan mereka di pentas.
MASENI 2025 bukan sahaja menjadi pentas menghargai bakat baharu, malah menjadi simbol permulaan perjalanan mahasiswa baharu di UUM sebagai pemimpin berilmu dan berdaya saing. – Nur Izzatul Natasya Raymee Syam (Pelajar Pelatih dari UniMAP)