SQS raikan anugerah dekan dan kepimpinan pelajar dalam majlis “Legacy & Laurels”
Berita dan gambar oleh Persatuan Sains Kuantitatif (QUSAC)
SINTOK, 09 Disember 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), telah menganjurkan “Legacy & Laurels: SQS Dean’s Award & Appreciation Ceremony 2025” bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik serta sumbangan kepimpinan pelajar di SQS.

Majlis ini menyaksikan pengiktirafan kepada seramai 125 orang pelajar yang berjaya mencapai Anugerah Dekan bagi semester A241 dan A242.
Daripada jumlah tersebut, 37 orang pelajar merupakan pelajar Program Matematik Perniagaan, 27 orang pelajar dari Program Sains Pemutusan, 22 orang pelajar daripada Program Data Analitik, manakala 39 orang pelajar terdiri daripada Program Statistik Industri, sekali gus mencerminkan pencapaian akademik yang memberangsangkan merentasi semua program di SQS.
Selain itu, majlis turut memberikan penghargaan kepada mantan barisan Majlis Perwakilan Pelajar Pusat Pengajian Sains Kuantitatif serta Ahli Jawatankuasa Persatuan Sains Kuantitatif (QUSAC) atas komitmen dan sumbangan berterusan mereka dalam pembangunan komuniti pelajar SQS.

Salah satu sorotan utama majlis ialah pengiktirafan kepada pasangan kembar penerima Anugerah Dekan bagi semester A241 dan A242 daripada kursus Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Statistik Industri), Syed Alhanif bin Syed Alhakim dan Syed Alharis bin Syed Alhakim mencerminkan pencapaian akademik yang konsisten dan menjadi contoh kecemerlangan dalam kalangan pelajar SQS.
Majlis rasmi ini telah dimulakan dengan persembahan Tarian Singa sebagai pembukaan majlis, yang melambangkan semangat permulaan baharu, kemakmuran dan kejayaan. Persembahan tersebut bukan sahaja menambah nilai budaya kepada majlis, malah mewujudkan suasana yang lebih bersemangat dan berprestij sepanjang penganjuran acara.

Majlis turut mengetengahkan inisiatif Utensil Express: Drive-Thru Donations anjuran QUSAC yang telah dilaksanakan melalui kerjasama antara SQS dan Pusat Penginapan Pelajar (SAC), bertujuan menambah baik kemudahan rumah tumpangan di setiap inasis.
Secara keseluruhan, penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen SQS dalam memupuk budaya kecemerlangan akademik, kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajarnya.



