STML perkasa penyelidik dengan tips praktikal menulis geran
Gambar Unit Penyelidikan STML
SINTOK, 6 November 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan budaya penyelidikan dalam kalangan warganya melalui penganjuran sesi perkongsian ilmu bertajuk “Winning the Grant Game: Practical Tips for Researchers.”
Program ini bertujuan membimbing penyelidik menghasilkan cadangan penyelidikan yang kompetitif, berimpak tinggi, dan berpotensi besar untuk memenangi geran penyelidikan.
Sesi ini telah disampaikan oleh Prof. Madya Noraziah Che Pa dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), UUM.

Dalam perkongsiannya, beliau menekankan kepentingan memahami kehendak penilai geran serta strategi menulis kertas cadangan penyelidikan yang jelas, fokus, dan meyakinkan.
Beliau turut menegaskan bahawa penyediaan bajet yang realistik dan disokong oleh justifikasi kukuh merupakan antara faktor penting yang dapat meningkatkan peluang kejayaan permohonan.
Program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung melalui sesi soal jawab, sekali gus membolehkan mereka membincangkan cabaran sebenar yang dihadapi dalam proses penyediaan dan penghantaran permohonan geran penyelidikan.

Peserta, Dr. Muzani Zainon berkata, sesi ini benar-benar membuka perspektif baharu tentang strategi penulisan geran.
“Ia bukan sekadar perkongsian ilmu, tetapi suntikan semangat yang memberikan keyakinan kepada penyelidik muda seperti saya untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia penyelidikan,” katanya.
Melalui inisiatif seperti ini, STML komited untuk terus memperkasakan keupayaan penyelidik serta menyokong aspirasi UUM ke arah menjadi universiti yang unggul dalam bidang penyelidikan dan inovasi. – Prof. Madya Ts. Dr. Fadhilah Mat Yamin



