Campus

SULAM Road Safety 2025 platform kongsi pengetahuan keselamatan jalan raya

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 14 Januari 2025: Sebagai platform perkongsian pengetahuan keselamatan jalan raya, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) telah menganjurkan Service Learning Malaysia-University For Society (SULAM) Road Safety 2025, hari ini.

Program anjuran Sekretariat Pelajar BJTLK3033, Pengurusan Pengangkutan Bandar dan Luar Bandar itu mendapat kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Kedah, The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah.

Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh berkata, beliau berterima kasih kepada rakan strategik yang ebrtungkus lumus bagi merealisasikan program ini.

Menurutnya, ini mencerminkan semangat kebersamaan dan kesedaran tentang pentingnya keselamatan jalan raya.

Katanya, statistik kemalangan jalan raya masih menjadi isu membimbangkan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan tetapi cabaran mengurangkan kemalangan jalan raya memerlukan komitmen semua pihak bukan hanya pihak berkuasa tetapi setiap individu masyarakat.

“UUM sebagai universiti pengurusan berusaha memainkan peranan aktif dalam mendidik masyarakat ke arah pembentukan budaya keselamatan lebih baik.

“Program ini membuktikan komitmen dalam menyampaikan ilmu, meningkatkan kesedaran dan melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap keselamatan jalan raya,” katanya yang merasmikan SULAM Road Safety 2025 di Dewan Seminar C, STML.

Dr. Mohamed Najib berharap program ini menjadi platform berkongsi ilmu, bertukar pandangan dan mencetuskan idea baru yang boleh membantu untuk mencapai matlamat keselamatan jalan raya yang lebih baik.

Beliau berharap semua peserta dapat memanfaatkan peluang ini sepenuhnya demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Program, Arif Azhari Roslan berkata, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan ilmu tentang keselamatan jalan raya.

Menurutnya, keselamatan jalan raya adalah tanggungajwab bersama dan kita sering mendengar berita kemalangan termasuk melibatkan golongan muda yang menjadi sebahagian besar pengguna jalan raya.

“Hal ini memberi impak kepada individu dan keluarga. Saya percaya kita akan memperoleh ilmu berguna dalam kehidupan seharian dengan adanya program seperti ini,” katanya.

Turut diadakan Advokasi Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), penyampaian hadiah bagi Explorace, Pertandingan Video dan Poster bertemakan keselamatan jalan raya serta flag-off topi keledar JPJ kepada 100 pelajar UUM dari golongan B40.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button