Sumbangan 16 periuk bubur lambuk, komuniti gembira, iftar bermakna
SINTOK, 26 Mac 2025: Semangat Ramadan dirasai dengan adanya sumbangan ikhlas daripada Dato’ Seri Yusuf Taiyoob yang menyumbangkan 16 periuk bubur lambuk untuk dinikmati oleh warga universiti dan komuniti setempat.
Program agihan bubur lambuk ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dengan kerjasama Dato’ Seri Yusuf Taiyoob yang tidak pernah ketinggalan menghulurkan sumbangan setiap kali Ramadan menjelang.
Bubur lambuk yang dimasak dengan penuh kasih sayang ini diagihkan kepada warga kampus dan masyarakat sekitar sebagai tanda kebersamaan dan semangat muhibah.
Dalam menjayakan program ini, staf akademik dan pentadbiran SEFB turut bergabung tenaga menyediakan bubur lambuk sebanyak empat periuk. Usaha ini memperkukuhkan semangat gotong-royong dan kebersamaan dalam kalangan warga SEFB.
Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, menyatakan penghargaan terhadap sumbangan berterusan Dato’ Seri Yusuf Taiyoob sejak beliau dilantik sebagai Profesor Adjung SEFB.
“Saban tahun, Dato’ Seri tidak pernah putus menyumbang untuk program ini. Sumbangan beliau bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, tetapi juga menyemarakkan semangat kebersamaan di kalangan warga universiti dan komuniti setempat, InshaAllah, sekiranya ada rezeki di lain kali, kita akan usahakan untuk menjemput Dato’ Seri untuk sama-sama turun padang menyediakan juadah istimewa Ramadan ini,” ujarnya.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, hubungan antara universiti dan masyarakat terus diperkukuh, menjadikan Ramadan satu bulan yang lebih bermakna dan penuh keberkatan. – Mohd Khairy Mukhtaruddin